General

Tiga tahun belajar secara maya, akhirnya jejak kaki ke UUM terima ijazah

Gambar Ihsan Parrimala Moorty

SINTOK, 11 November 2024: Ketika pelajar lain menjejakkan kaki ke universiti untuk mendalami ilmu, berbeza pula bagi graduan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia, Parrimala Moorty, 32, yang hanya mengikuti kelas secara maya bagi menamatkan pengajiannya.

Parrimala berkata, ia merupakan satu pengalaman yang sangat berharga padanya apabila berpeluang bertemu dengan rakan sekelas dan staf Universiti Utara Malaysia (UUM) setelah tiga tahun belajar ‘online’, akhirnya bertemu di majlis konvokesyen pada tahun ini.

Menurutnya, pertama kali bertemu sangat kekok, bagaimanapun ia memberi satu pengalaman baru, tetapi ia juga menjadi kenangan sedih kerana ini mungkin pertemuan terakhir dengan rakan serta Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengenang kembali permulaan menyambung pengajian, Parrimala mengambil keputusan untuk sambung belajar di peringkat sarjana selepas menyedari kepentingan pendidikan demi mencapai matlamat kerjaya.

“Pada mulanya, ia agak mencabar kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya sedia ada dan juga pelajaran. Menyesuaikan diri dengan kehendak program pengajian sambil menguruskan tanggungjawab lain bukanlah mudah.

“Tetapi dengan adanya sokongan dan ketabahan, saya mampu menghadapi segala cabaran dan hari ini, saya berasa bangga atas kejayaan menamatkan pengajian sarjana selama tiga tahun,” katanya.

Bekerja sebagai Pengurus Pejabat di Firma Guaman di Kuala Lumpur, Parrimala berkata, dengan ijazah sarjana yang dimilikinya kini, beliau merancang untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran sepanjang pengajian saya untuk maju dalam kerjaya dan menyumbang kepada bidang sekarang.

Dia juga bercadang untuk menyambung pengajian atau peluang pembangunan profesional untuk terus berkembang secara peribadi dan profesional.

“Saya tidak mengambil sebarang pinjaman untuk belajar, bagaimanapun wang bukan masalah kerana yang berharga bagi saya adalah sokongan ibu bapa dan rakan-rakan yang memberi sokongan tatkala saya berasa ingin putus asa.

“Saya juga bersyukur kerana bertemu dengan profesor dan penyelia yang memudahkan urusan saya, antaranya Dr. Houcine Meddour,” katanya.

Parrimala antara 673 penerima ijazah bagi sesi tiga yang disempurnakan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button