Education

Pensyarah IBS dan alumni SEMAI beri motivasi kepada calon SPM dan STAM

Berita dan gambar ihsan Dr. Mohd Adib Abd Muin

BAGAN DATUK, 24 November 2024: Sekolah Menengah Agama Irshadiah (SEMAI), Bagan Datuk, Perak telah menganjurkan ceramah motivasi dan literasi kewangan yang disampaikan oleh pensyarah kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) iaitu Dr. Mohd Adib Abd Muin.

Program ini diadakan khas untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran peperiksaan dan kehidupan selepas alam persekolahan.

Ceramah yang bertemakan “Cemerlang Bersama: Menuju Kejayaan STAM & SPM 2024” ini mendapat sambutan hangat daripada lebih 75 pelajar dan guru.

Dr. Mohd Adib yang merupakan alumni dari sekolah tersebut berjaya menarik perhatian hadirin dengan pendekatan interaktif dan mesej-mesej yang bermotivasi.

Dalam ceramah tersebut, Dr. Mohd Adib menekankan pentingnya gabungan ilmu akademik dan pengurusan kewangan yang bijak dalam mencapai kejayaan. Beliau turut memperkenalkan konsep literasi kewangan Islam seperti pengurusan belanjawan berasaskan Syariah, pentingnya mengelakkan riba, gharar, maisir dan amalan bersedekah sebagai cara untuk menyuburkan keberkatan rezeki.

Beliau juga berkongsi strategi belajar yang berkesan, termasuk teknik mengurus masa, merancang strategi pembelajaran, membina minda positif, mengatasi tekanan dan hala tuju pelajar lepasan agama ke peringkat Institut Pengajian Tinggi. Peserta kelihatan terinspirasi apabila beliau menceritakan kisah-kisah kejayaan individu yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan dan perniagaan mereka.

Wakil Pengetua Sekolah Menengah Agama Irshadiah, Hizwan Abd Halim berkata, ceramah ini bertujuan untuk memberikan bimbingan kepada pelajar, bukan sahaja untuk cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

“Kami berharap ceramah ini akan memberi inspirasi kepada pelajar untuk lebih fokus, berdisiplin, dan bersedia menghadapi cabaran selepas tamat persekolahan.

“Malah, kami berasa bangga apabila alumni dari sekolah kami yang berjaya dapat meluangkan masa untuk berkongsi resepi kejayaan kepada para pelajar agar dapat mencapai kejayaan yang sama seperti beliau,” katanya.

Pada penghujung ceramah, pelajar diberi peluang untuk bertanya soalan dan menerima pandangan langsung daripada Dr. Mohd Adib. Sesi tersebut disambut dengan semangat dan interaksi yang aktif, menunjukkan minat pelajar terhadap topik yang dibincangkan.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada wakil guru SEMAI, Hizwan Abd Halim kepada Dr. Mohd Adib Abd Muin sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button