General

Pelajar UUM ungguli Sayembara Penulisan Peringkat Antarabangsa 2024

SINTOK, 26 November 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejayaan membanggakan apabila tiga pelajarnya berjaya meraih pengiktirafan dalam Sayembara Penulisan Cerpen dan Esei Bahasa Melayu Peringkat Antarabangsa 2024 anjuran Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia (DBP).

Dalam kategori cerpen, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM), Nurafrina Abdul Aziz berjaya meraih Johan menerusi karya bertajuk “Warisan Melayu di Jiwa Warwick”.

Cerpen ini mengangkat tema warisan dan budaya Melayu dalam konteks globalisasi, menjadikannya karya yang berjaya memukau perhatian juri. Nurafrina membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 2,000 bersama sijil penghargaan.

Turut mencipta nama ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Nur Atikah Saiful-Nizam yang menerima anugerah saguhati melalui cerpen “Sinar Hadzharah Melayu Kini Kembali Pulang”. Cerpen ini menampilkan elemen perjuangan identiti budaya Melayu yang sesuai dengan cabaran dunia moden.

Seorang lagi pelajar Doktor Falsafah dalam Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari, Mohd Haniff Mohamad Yusoff turut menerima penghargaan saguhati menerusi karya bertajuk “Bitara Tenunan Seorang Perempuan”. Cerpen tersebut mengetengahkan metafora seni tenunan sebagai simbol kekuatan dan kehalusan budaya Melayu dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Timbalan Akademik dan Antarabangsa SLCP, Dr. Maizatul Azura Yahya mengucapkan tahniah kepada pemenang atas pencapaian cemerlang mereka.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa pelajar UUM bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam penghasilan karya kreatif yang membawa nilai-nilai budaya ke peringkat antarabangsa.

“SLCP akan terus menyokong dan memberi ruang kepada pelajar untuk menghasilkan karya bermutu tinggi,” katanya.

Sayembara ini telah menjadi platform berprestij untuk para penulis muda dari seluruh negara mempamerkan kreativiti mereka. Dengan tema-tema yang mengangkat budaya, sejarah, dan isu semasa, ia berjaya menarik penyertaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi.– Mohamed Nazreen Shahul Hamid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button