Education

Generasi muda bangkit lawan jenayah 

JITRA, 13 Januari 2025:  Dalam arus kemajuan teknologi dan globalisasi, keutuhan nilai-nilai moral kian terhakis dan masalah sosial di kalangan remaja terus meruncing.

Namun, di sebalik cabaran ini, sekumpulan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil memikul tanggungjawab untuk mendidik generasi muda tentang bahaya jenayah dan kepentingan mencegahnya.

Melalui program Girls United Against Crime, seramai 29 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) turun padang, menggunakan ilmu yang dipelajari untuk membimbing kanak-kanak perempuan di Asrama Akhlak (P) Jitra (AAPJ), Kedah.

Pengarah program, Yasmine Farhan Azran menekankan pentingnya gabungan teori kriminologi dan kemahiran kerja sosial dalam merancang serta melaksanakan program ini.

“Teori Strain menjelaskan bagaimana tekanan yang dialami individu, seperti ketidakupayaan mencapai kejayaan melalui cara sah, boleh mendorong kepada perlakuan jenayah.

“Dalam konteks ini, pelajar dilatih mengenal pasti punca masalah melalui penilaian menyeluruh dan seterusnya merangka intervensi yang bersesuaian,” katanya.

Sebagai contoh, Yasmine menjelaskan, jika seseorang melakukan jenayah seperti meragut kerana terdesak mencari sumber pendapatan, pekerja sosial perlu mengenal pasti penyebab utama masalah tersebut.

“Langkah seterusnya ialah mencadangkan jalan penyelesaian, seperti program latihan kemahiran, supaya individu itu dapat berdikari selepas menjalani pemulihan,” tambahnya.

Seorang peserta, Nur Shamira Irwani, menyifatkan pengalaman bertemu dengan klien yang merupakan kanak-kanak bermasalah sebagai peluang yang amat berharga dan begitu menyayat hati.

“Hati saya tersentuh mendengar kisah mereka. Kebanyakan klien berasal daripada keluarga yang bergelut dengan kemiskinan dan konflik. Melihat masa depan mereka yang masih panjang, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka mempersiapkan diri menghadapi cabaran,” katanya.

Program sehari ini dipenuhi dengan aktiviti menarik seperti kotak beracun, menara belon, simulasi situasi dilema jalan benar dan permainan radio rosak.

Setiap aktiviti dirancang untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak perempuan tentang keselamatan diri, mengenali tanda awal risiko jenayah, dan cara menjauhi perilaku yang salah.

Semua aktiviti dilakukan secara berkumpulan dengan kerjasama erat antara pelajar dan klien. Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran kerja sosial dalam situasi sebenar.

Menurutnya, pencegahan jenayah memerlukan usaha bersepadu antara semua pihak.

Program ini menunjukkan bagaimana kolaborasi antara universiti dan agensi dapat memberi impak positif kepada komuniti, khususnya dalam mencegah jenayah sejak usia muda,” jelasnya.

Dengan inisiatif seperti Girls United Against Crime, generasi muda diajar untuk memahami betapa pentingnya membuat pilihan yang betul dalam kehidupan, sekali gus membuka peluang untuk masa depan yang lebih cerah dan selamat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button