Program SoHK bantu tingkatkan kemahiran insaniah pelajar
Gambar PPKKG UUM
SINTOK, 16 Januari 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengadakan sesi onboarding bersama Bank Islam Padawan di bawah program School of Hard Knocks (SoHK) di Dewan ILC Permai, INASIS Petronas selama dua hari pada 10 dan 11 Januari lalu.
Sesi pertemuan fizikal ini dihadiri seramai 25 pelajar dan beberapa pegawai eksekutif BIMB.
Penyelaras SoHK, Dr. Adilah Azhari berkata, kerjasama PPKKG bersama industri dalam menjayakan program ini dapat membantu pelajar untuk memperoleh kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam berfikiran secara kritis dan kreatif.
Menurutnya, program SohK ini telah dijadikan satu usaha untuk mengeratkan hubungan universiti bersama industri luar dan secara tidak langsung pelajar dapat meningkatkan kemahiran membina rangkaian bersama majikan industri luar.
Pengurus Penjenamaan Majikan, Budaya & Pembelajaran, Sumber Manusia, BIMB, Muhammad Za’im Mohamad Yusoff berkata, pelajar-pelajar UUM memberikan kerjasama yang sangat baik dalam menjayakan program ini dan berterima kasih kepada PPKKG kerana menyediakan medium kepada mereka untuk melaksanakan program ini dengan lancar.
“Saya berharap agar program seperti ini dapat terus dijalankan pada masa hadapan dan kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk terlibat dengan lebih dekat bersama pihak industri,” katanya. – Anis Zulaikha Kamal