“iMathKidzPlaygroup” berjaya semai cinta Matematik dalam kalangan murid luar bandar
Berita: Mohamad Amir Rahman Mohamad Ariffin
Gambar: Nur Syafiqah Faidzul Hassan
KUBANG PASU: Program inovasi sosial “iMathKidzPlaygroup” yang dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) menutup tirai dengan modul keenam bertajuk “Saya Love Math”.
Program ini telah berlangsung selama enam minggu yang melibatkan 60 orang murid luar bandar berumur 10 hingga 12 tahun dari Komuniti Mukim Jeram, Tunjang.
Salah satu pengisian modul terakhir ini adalah slot motivasi yang disampaikan oleh guru bimbingan dan kaunseling dari Pulau Pinang, Cikgu Amirul Hayat yang juga merupakan alumni SOE, UUM.
Dalam sesi interaktifnya, Cikgu Amirul menekankan agar para peserta sentiasa fokus dan menanamkan aspek MUTIARA dalam diri iaitu matlamat, usaha, tumpuan, imej diri, aktif, rajin bertanya dan amanah sebagai usaha dan tanda cinta kepada ilmu.
Ketua penyelidik yang juga merupakan Pengarah IETLE, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin menyatakan rasa bersyukur kerana program yang dilaksanakan melalui Skim Geran Inovasi Sosial, di bawah Centre for University-Industry Collaboration (CUIC) ini telah berjaya mencapai objektifnya.
Antara objektif berkenaan ialah untuk meningkatkan motivasi belajar matematik seterusnya meningkatkan penguasaan operasi asas dan penyelesaian masalah matematik dalam kalangan murid luar bandar.
Program itu menyediakan soal selidik serta ujian pra dan pasca telah dilaksanakan untuk menilai impak program terhadap sikap serta pengetahuan matematik murid luar bandar yang terlibat.
Sementara itu, ahli penyelidik, Dr Nurliyana Bukhari, berkata hasil ujian matematik pra dan pasca yang diberi nama “MathQuest” telah menunjukkan peningkatan dalam pencapaian murid daripada tahap sederhana pada peringkat awal ke tahap tinggi selepas program.
“Ini membuktikan pembelajaran interaktif sangat bermakna dan berkesan, terutama bagi murid luar bandar dengan cabaran sosial ekonomi yang berbeza,” katanya.
Selain itu, berdasarkan kepada soal selidik dan refleksi berkaitan sikap dan motivasi yang dijalankan pada akhir program, analisis awal menunjukkan majoriti murid semakin berminat dan lebih teruja untuk belajar matematik.
Salah seorang ibu kepada peserta program, Mastura Abdul Mahmud menyatakan, anaknya dilihat lebih berminat, bermotivasi dan cekap menyelesaikan masalah matematik setelah menghadiri sesi pembelajaran interaktif ini.
Program “iMathLidzPlaygroup” menutup tirainya kali ini dengan majlis penutupan yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kubang Pasu, Aris Othman mewakili Pegawai Pendidikan Daerah.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan kepentingan memupuk minat yang mendalam terhadap matematik dari peringkat awal dan menyeru agar semua peserta mempraktikkan ilmu yang diperolehi daripada program inovasi sosial ini agar dapat mencapai kecemerlangan yang berterusan dalam subjek matematik.
Dalam majlis tersebut juga para peserta yang menunjukkan pencapaian yang signifikan telah menerima hadiah sumbangan daripada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Setempat (PIBKS), Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad,
Selain itu, kumpulan hijau telah merangkul kumpulan terbaik yang dinilai dari pelbagai aspek, termasuklah pencapaian keseluruhan serta kerjasama pasukan.
Sementara itu, Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Haji Othman mengucapkan tahniah kepada semua peserta, pasukan penyelidik, fasilitator, sukarelawan serta ahli komuniti yang bekerjasama erat menjayakan program inovasi sosial ini.
“Semoga program bersama komuniti yang berasaskan pemindahan ilmu ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha jalinan hubungan di antara universiti, komuniti dan agensi pendidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan seterusnya mengurangkan masalah keciciran dalam kalangan murid luar bandar,” tambahnya lagi.