SCIMPA perkukuh jaringan dengan industri
SINTOK, 19 Januari 2025: Dalam era digital dan globalisasi, industri kreatif bukan sahaja berfungsi sebagai pemangkin ekonomi, tetapi juga membuka peluang kerjaya yang sangat luas bagi individu yang memiliki bakat dan kemahiran dalam bidang seni, reka bentuk, teknologi, media, hiburan, dan banyak lagi.
Profesor Adjung, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato’ Afdlin Shauki Aksan berkata, dalam perfilemen apabila teknologi mula memasuki bidang industri telah memberi perubahan yang ketara.
“Setiap kali berubah kita kena belajar teknologi yang sangat pesat dan tidak berhenti dalam erti kata lain, teknologi makin lama makin laju.
“Masalahnya bila kita tidak ikut perubahan masa untuk beradaptasi dengan perkembangan teknologi. Fenomena ini memberi peluang kepada orang baru dan apabila orang lama tidak mahu belajar teknologi itu yang menjadi masalah kepada industri,” ujarnya.
Untuk berjaya dalam industri kreatif katanya, individu perlu mempunyai ilmu teknologi, kemahiran teknikal, kemahiran komunikasi serta kreativiti yang tinggi.
“Ramai yang berusaha menghasilkan kandungan bagi menarik banyak tontonan jadi kita perlu menghasilkan kandungan yang baik dan bertanggungjawab dengan apa yang kita hasilkan.
“Pastikan kandungan anda memberikan nilai tambah, seperti maklumat yang berguna, penyelesaian kepada masalah, atau hiburan yang sesuai dengan minat orang ramai.
“Kita melihat orang menyanyi dalam tiktok lalu kita meniru apa yang dilakukan, tidak salah kerana kita menyanyi dengan cara dan kreativiti tersendiri. Dunia kreatif amat penting serta memerlukan inovasi dan keberanian,” ujarnya pada Program Bicara Intelek Industri Kreatif Dan Kerjaya anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Ujarnya, kerjasama yang dirangka melalui perbincangan ini bersama rakan strategik adalah satu usaha penting ke arah memperkukuhkan hubungan antara UUM dan industri kreatif negara.
Majlis turut menyaksikan wakil Meatech Creative Academy dan Meatech College menerima Letter of Intent (LOI).
Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail berkata, usaha ini merupakan medan dan peluang untuk memperkukuhkan hubungan antara akademia dan industri kreatif.
“Saya percaya, LOI ini akan menjadi asas kepada pelbagai inisiatif kolaborasi yang memberi manfaat dan langkah strategik yang menunjukkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan jaringan dengan pihak industri.
“Melalui kolaborasi ini, kita berhasrat untuk menyediakan peluang latihan dan pendedahan industri kepada warga SCIMPA untuk memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak, serta membangunkan modul latihan yang relevan dengan keperluan industri kreatif masa kini.
Beliau berharap program ini bukan sahaja menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara UUM dan rakan industri tetapi juga menjadi inspirasi kepada pelajar SCIMPA untuk terus berusaha mengejar kecemerlangan.
Hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Produksi, FINAS, Radzuan Asan dan Ketua Pegawai Operasi Meatech Creative Academy, Mohd Zaharizan Abdul Mubin.