Go-Thai’25 peluang pelajar Komunikasi kembang minda dan kemahiran
Gambar SMMTC
NAKHON SI THAMMARAT, 24 Februari 2025: Global Academic And Volunteer Trips: Thailand 2025 (Go-Thai’25) merupakan program mobiliti tidak berkredit yang dijalankan secara virtual dan fizikal anjuran Persatuan Komunikasi dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).
Pengarah program, Muhammad Shafiq Junizudin, Go-Thai’25 merupakan platform antarabangsa bagi pelajar komunikasi untuk berkongsi idea mengenai bidang komunikasi melalui perspektif lokal mengikut negara-masing-masing serta berbakti kepada komuniti global.
Menurutnya, program ini juga membolehkan pelajar komunikasi untuk meluangkan sedikit masa di luar negara yang bertujuan untuk mengembangkan minda pelajar komunikasi dan pada masa yang sama, membolehkan pelajar merasai budaya dan persekitaran yang berbeza di negara yang berbeza.
Beberapa aktiviti telah diadakan bertujuan untuk memberi pengalaman dan pengetahuan yang bermanfaat kepada pelajar dalam bidang komunikasi dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan pelajar seperti aktiviti sukarelawan.
Aktiviti membantu penduduk Muslim Nakhorn Si Thammarat memperkukuhkan Bahasa Melayu di Masjid Ban Klang, Thailand. Program ini bertujuan untuk memperkukuh bahasa melayu melalui aktiviti seperti latihan ejaan, bacaan serta sesi interaksi bersama murid-murid tadika.
Selain itu, peserta juga dapat mendalami budaya Thailand melalui penyediaan makanan asli Thai seperti Pad-Thai dan Tomyam bersama Fakulti Seni Kulinari, Walailak Universiti.
Peserta, Muhammad Daniel Hawazim berkata, Go-Thai’25 dapat membentuk pelajar menjadi seorang insan holistik yang dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa dan secara tidak langsung dapat meningkatkan imej dan reputasi Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam menghasilkan produk yang sedia berbakti di persada antarabangsa.
Program Go-Thai’25 juga merangkumi khidmat masyarakat memfokuskan aktiviti yang berteraskan akademik dan budaya. – Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad