Majlis Anugerah Dekan IBS serlah kecemerlangan pelajar dua semester berturut-turut
Gambar IBS
SINTOK, 22 April 2025: Seramai 250 daripada 484 pelajar cemerlang dari tiga program sarjana muda di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), iaitu Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB), Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat (BMA) dan Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) telah diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan bagi Semester A232 dan A241 di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), UUM.
Pelajar yang menerima anugerah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing dan berjaya mendapatkan PNGK 3.67 ke atas pada semester A232 dan A241.
Majlis tersebut turut menerima kunjungan tetamu kehormat, Mufti Pahang, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim, yang juga merupakan mantan dekan pertama IBS.
Selain menyampaikan sijil anugerah dekan, beliau turut menyampaikan ucapan yang sarat dengan nasihat serta peringatan kepada pelajar tentang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik tetapi kepentingan adab dan akhlak, integriti dan peranan mereka sebagai bakal pemimpin ummah.
Menurutnya, manusia juga perlukan makanan rohani iaitu ilmu agama dan pegangan akidah yang kuat bukan semata-mata makanan fizikal sahaja, dan ia akan melengkapkan sifat kita sebagai seorang insan dan khalifah di muka bumi.
Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, majlis ini diadakan bagi mengiktiraf pencapaian akademik pelajar yang cemerlang serta memupuk semangat kecemerlangan berterusan dalam kalangan pelajar IBS.
Menurutnya, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi juga sebagai pemangkin untuk pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan holistik selaras dengan visi UUM untuk melahirkan graduan berilmu, beretika dan berdaya saing di peringkat global.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid dari pelajar IBS dan penyampaian Anugerah Khas Tokoh Pelajar seperti Tokoh Keusahawanan dan Ikon Program yang secara tidak langsung menjadi medan apresiasi terhadap komitmen, ketekunan dan dedikasi mereka dalam bidang pengajian Islam dan perniagaan.
Semoga dengan majlis keraian ini memberi motivasi kepada pelajar yang lain untuk berusaha keras mencapai kejayaan yang cemerlang juga kelak kerana majlis turut menjemput barisan pelajar yang tidak menerima anugerah sebagai sumber inspirasi untuk mereka. – Siti Rasyidah Hassan