SEFB, Inasis SME Bank dan Thaksin University jalin hubungan akademik melalui program mobiliti
Gambar SEFB dan Inasis SME Bank
SINTOK, 6 Mei 2025: Seramai 26 pelajar dan tiga staf Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengikuti Program Mobiliti Tidak Berkredit di Universiti Thaksin (TSU), Thailand, baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM dengan kerjasama INASIS SME Bank ini berlangsung selama empat bermula dari 2 hingga 5 Mei lalu di Kampus Phattalung dan Kampus Songkhla.
Ketua delegasi, Dr. Wan Roshidah Fadzim berkata, program bertemakan “Integrated Agricultural Industry Innovation and Knowledge of Southern Thai Lifestyles” ini bertujuan mendedahkan peserta kepada budaya, ekonomi, dan sistem pendidikan Thailand, di samping mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua universiti.
Sepanjang program mobiliti ini, peserta telah terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik yang dirancang khas oleh Universiti Thaksin. Antaranya sesi perkongsian ilmu mengenai kerjasama akademik dan keusahawanan, demonstrasi penghasilan sagu serta anyaman tikar “krajood” sebagai warisan tempatan Thailand, lawatan akademik ke Fakulti Agro dan Bio-Industri, dan perbincangan mengenai peluang pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua universiti.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberikan pendedahan praktikal kepada peserta, malah turut memperkukuhkan pemahaman mereka tentang budaya yang masih dikekalkan di Thailand.
Penolong Profesor Dr. Thuanthong Krutchon dari TSU dalam ucapan beliau menyifatkan kunjungan akademik ini sebagai permulaan yang baik ke arah kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.
“Program seumpama ini bukan sekadar memperkaya pengetahuan pelajar, malah membuka ruang untuk kolaborasi strategik dalam penyelidikan dan pembangunan akademik,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan program mobiliti sebagai platform untuk menjalin hubungan akademik yang berpanjangan.
Selain itu program ini juga dilihat selaras dengan hasrat universiti untuk memperluas jaringan antarabangsa dan meningkatkan pendedahan global warga kampus.
Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderamata dan sijil penyertaan kepada semua peserta, sekaligus menandakan kejayaan program mobiliti pertama antara UUM dan TSU yang diharapkan akan menjadi asas kepada lebih ruang kerjasama lebih banyak pada masa hadapan. – Dr. Wan Roshidah Fadzim