Campus

Alumni Sarjana Kaunseling sumbang RM30,000 untuk pelajar B40

Gambar Pusat Alumni

SINTOK, 14 Mei 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor, Dato’ Mustaffa Kamal, yang juga merupakan alumni program Sarjana Sains Kaunseling (2022), dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, baru-baru ini.

Dalam kunjungan itu, beliau telah berbesar hati menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 mewakili Alumni Sarjana Sains Kaunseling 2022 sebagai inisiatif membantu pelajar-pelajar UUM daripada keluarga kategori B40.

Menurut Mustaffa, sumbangan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan tinggi dalam kalangan alumni UUM terhadap kebajikan pelajar UUM khususnya.

Sementara itu, Dr. Mohd Foad berkata, sumbangan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi manfaat terus kepada pelajar yang memerlukan, malah menjadi contoh teladan bagaimana alumni boleh menyumbang semula dalam pelbagai bentuk untuk kesejahteraan komuniti kampus.

“Kunjungan ini turut membuka ruang perbincangan awal ke arah penawaran program strategik dan pengukuhan jaringan alumni khususnya di Negeri Johor.

“Selain itu, sumbangan bermakna daripada Alumni Kaunseling 2022 ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai alumni untuk tampil menyumbang, sekali gus memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik universiti dalam merealisasikan aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terulung,” katanya.

Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; serta Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar. – Fatin Najwana Ahmad Tarmizi (Pelajar Praktikal)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button