Bengkel Penyuntingan Bab Dalam Buku tingkat kualiti penerbitan ilmiah
Berita dan gambar Dr. Aidanajwa Sabri
SINTOK, 19 Mei 2025: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Penyuntingan Bab dalam Buku bertempat di Bilik Seminar, SOG, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan, Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail berkata, bengkel ini merupakan anjuran Jawatankuasa Penerbitan dengan kerjasama Unit Kepimpinan Kajian MADANI, dan disertai oleh staf akademik yang terlibat sebagai penyumbang bab dalam buku ilmiah yang sedang dibangunkan secara kolektif di bawah pusat pengajian ini.
Menurutnya, bengkel ini bertujuan menyelaras dan memperkemas setiap bab yang ditulis agar memenuhi standard akademik serta keperluan penerbit.
Katanya, ianya juga membuka ruang untuk interaksi langsung antara penyumbang bab dalam memastikan koherensi dan kesinambungan kandungan secara menyeluruh.
“Bengkel ini bukan sahaja menyokong peningkatan KPI penerbitan buku ilmiah di peringkat pusat pengajian, malah berfungsi sebagai platform pembangunan profesional dalam penulisan akademik dalam kalangan pensyarah muda.
“Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai langkah strategik ke arah melahirkan lebih banyak karya ilmiah berkualiti tinggi dari SOG UUM,” katanya.
Bengkel dikendalikan oleh fasilitator utama, Prof. Madya Dr. Malike Brahim, yang membimbing peserta melalui beberapa sesi intensif, antaranya taklimat struktur dan penetapan tajuk buku, sesi penyuntingan individu, serta semakan format bibliografi, indeks dan biodata penulis.