PKS Malaysia perlu kukuhkan prestasi melalui strategi pengurusan sumber manusia
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 21 Mei 2025: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia perlu mengukuhkan daya saing menerusi pengurusan sumber manusia yang disesuaikan dengan keperluan dan cabaran semasa perniagaan.
Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) berkata demikian dalam Syarahan Pengukuhan Profesor Siri 1 bertajuk ‘Enhancing Enduring Malaysian SME’s Performance Through Context-Specific Human Resource Architectures’ di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, semalam.
Menurutnya, pendekatan dalam pengurusan sumber manusia mampu menyelaras tenaga kerja dengan matlamat perniagaan yang sentiasa berubah, sekali gus membantu PKS beradaptasi dalam persekitaran ekonomi global yang dipacu teknologi.
Katanya, dengan membangunkan bakat manusia, PKS boleh membina kelebihan daya saing yang mampan dan bersedia untuk menghadapi masa depan.
“Modal insan merupakan aset paling berharga, justeru PKS perlu berinovasi dan menawarkan produk serta perkhidmatan bernilai tambah bagi menjamin kelangsungan dalam era digital,” katanya.
Beliau turut mengaitkan pendekatan ini dengan matlamat Pelan Strategik Perniagaan Perbadanan PKS Malaysia 2022–2030 yang menekankan inovasi, pendigitalan dan peningkatan kapasiti sebagai teras integrasi ke dalam rantaian nilai domestik dan global.
Dr. Abdul Halim juga menegaskan kepentingan amalan kerja berprestasi tinggi (HPWP) serta kreativiti dalam reka bentuk kerja bagi meningkatkan prestasi perniagaan secara mampan.
“Pekerja yang mempunyai autonomi untuk menggunakan kemahiran mereka secara fleksibel akan lebih bersedia menyelesaikan masalah secara kreatif dan menyumbang kepada kejayaan perniagaan,” katanya.
Syarahan yang dihadiri oleh ahli akademik dan pelajar itu dilihat sebagai panduan strategik dalam memacu pertumbuhan PKS yang mampan dan berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Sebelum itu, Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd Mokhtar telah memperkenalkan Dr. Abdul Halim dan berkongsikan kisah serta latar belakang beliau kepada hadirin.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, profesor-profesor, pelajar dan tidak ketinggalan ahli keluarga Dr. Abdul Halim yang hadir memberikan sokongan.