Campus

Bengkel ‘Dari Idea Ke Dana’ perkasa keupayaan penyelidik dapat geran komuniti

Gambar Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali dan Mohd Mahadi Mohd Razani

SINTOK, 14 April 2026: Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Jawatankuasa Penyelidikan dan Penerbitan telah berjaya menganjurkan bengkel “Dari Idea ke Dana: Panduan Lengkap Mendapatkan Geran Komuniti” yang berlangsung di Bilik Seminar, SOG, Rabu lalu.

Dekan, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf menekankan kepentingan penglibatan aktif pensyarah dalam penyelidikan berasaskan komuniti serta usaha mendapatkan geran bagi memperluas impak akademik kepada masyarakat.

Beliau turut menggalakkan warga akademik untuk terus memperkukuh keupayaan dalam menghasilkan projek yang relevan dan berimpak tinggi.

Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Pengarah Institut Kajian Strategik dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis, Prof. Madya Dr. Hanum Hasan yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan pengurusan geran komuniti.

Beliau telah berjaya memperoleh geran komuniti bernilai jutaan ringgit, sekali gus menjadikan beliau antara rujukan penting dalam mendapatkan geran komuniti berimpak tinggi.

Sepanjang bengkel berlangsung, penceramah menekankan penulisan proposal geran komuniti adalah berbeza daripada geran penyelidikan konvensional di mana geran komuniti lebih berfokus kepada penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat, berbanding perbincangan teori atau penggunaan istilah akademik yang kompleks.

Pendekatan penulisan yang disarankan adalah lebih ringkas, jelas dan terus kepada isu serta tindakan yang ingin dilaksanakan.

Penceramah turut berkongsi bahawa cadangan geran komuniti lazimnya boleh dirumuskan secara padat, malah memadai dalam satu slaid yang merangkumi keseluruhan idea projek. Pendekatan ini dilihat lebih efektif dalam memastikan cadangan yang dikemukakan mudah difahami, relevan dan berpotensi tinggi untuk diluluskan.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada strategi praktikal dalam meningkatkan kebolehterimaan permohonan geran, termasuk kepentingan memahami keperluan sebenar komuniti, merangka tindakan yang realistik serta membina kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek yang lebih berimpak.

Sesi soal jawab yang diadakan turut memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berdasarkan pengalaman sebenar penceramah dalam mengurus dan melaksanakan projek komuniti.

Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan pensyarah, di samping meningkatkan keupayaan dalam menghasilkan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat. – Dr. Nur Fariha Mohd Noor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button