Fun Run Hari Guru SOE kenang sumbangan pendidik
Gambar Nur Alia Natasha Mat Husin
SINTOK, 22 Mei 2025: Saban tahun, tarikh 16 Mei diraikan dengan penuh makna sebagai Hari Guru, memperingati jasa dan sumbangan insan pendidik dalam membentuk generasi pewaris negara.
Di Universiti Utara Malaysia (UUM), sambutan Hari Guru turut dimeriahkan dengan penganjuran Fun Run Hari Guru 2025 oleh Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK).
Program berbentuk kecergasan ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan, melibatkan lebih 100 pelajar dan staf akademik. Larian ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi turut menjadi medium membina jati diri, ketahanan fizikal dan semangat berpasukan dalam kalangan pelajar, khususnya bakal guru. PENDIDIK memberi penekanan bahawa tenaga pengajar yang sihat secara fizikal lebih berdaya menghadapi cabaran dunia pendidikan yang dinamik.
Program ini turut menumpukan kepada aktiviti kolaboratif dalam suasana santai dan inklusif, membolehkan peserta berinteraksi secara aktif sambil memupuk kesedaran akan pentingnya gaya hidup sihat. Ia juga selari dengan nilai-nilai pendidikan holistik yang menekankan pembangunan menyeluruh daripada aspek fizikal, emosi dan sosial.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kecergasan fizikal dan kestabilan emosi perlu digabungkan dalam diri seorang pendidik bagi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dan berakhlak mulia.
“Langkah cergas hari ini mencerminkan semangat dan komitmen guru masa depan dalam membina bangsa dan negara,” katanya.
Pengarah Program, Nur Alya Afiqah Mohamad Sazali berkata, Fun Run Hari Guru bukan sahaja menyemarakkan semangat sambutan, tetapi juga menjadi simbol perpaduan, gaya hidup sihat dan penghargaan terhadap profesion keguruan.
Presiden PENDIDIK, Balqis Mohd Rozali, menyatakan bahawa penganjuran Fun Run ini selaras dengan usaha persatuan untuk memperkasa potensi pelajar secara holistik.
Menurutnya, inisiatif ini sebagai platform memperkukuh kesejahteraan pelajar serta membentuk budaya sokongan yang sihat dalam kalangan bakal pendidik.
“Saya berharap program seperti ini diteruskan sebagai sebahagian daripada latihan nilai dan kepimpinan dalam konteks pendidikan tinggi,” katanya. – Nur Alya Afiqah Mohamad Sazali