Naib Canselor ajak warga UUM tekankan budaya integriti , akauntabiliti
SINTOK, 27 Mei 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan mengajak warga Universiti Utara Malaysia (UUM) berpegang teguh pada prinsip tadbir urus yang baik, akauntabiliti, dan nilai integriti yang tinggi dalam setiap tindakan dan pengurusan kewangan.
Berucap dalam Majlsi Perhimpunan Bulanan Staf UUM pagi ini, beliau berkata banyak juga kes yang dilaporkan membabitkan salah laku kakitangan awam termasuk warga universiti.
Menurutnya, Laporan Audit Negara melaporkan terdapat 24 kes melibatkan penyalahgunaan kuasa dalam agensi kerajaan yang sedang dalam proses pendakwaan yang antaranya melibatkan penyalahgunaan kontrak pembekalan untuk keuntungan peribadi.
“Perkara ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita. UUM tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana bentuk salah guna kuasa atau ketirisan yang mencemarkan nama baik UUM,” katanya.
Naib Canselor turut menyeru seluruh warga UUM agar menerapkan budaya kerja yang berteraskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap aspek pengurusan.
“Marilah sama-sama kita pertahankan nama baik universiti ini dengan menolak sebarang bentuk salah laku dan jadikan UUM sebagai contoh pengurusan kewangan awam yang terbaik dalam sektor pendidikan tinggi,” ujarnya sempena Perhimpunan Bulanan Staf yang berlangsung di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS).
Beliau menyifatkan universiti berada di fasa ekonomi yang mencabar, baik di peringkat global mahupun nasional.
Menurutnya, laporan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan sekitar 4.2% pada suku pertama 2025, sedikit rendah daripada unjuran asal.
“Kesan daripada dinamika ini memberikan implikasi langsung kepada ekonomi negara, seterusnya kepada kedudukan kewangan sektor awam termasuk institusi seperti UUM,” tambahnya.
Selain itu, katanya, seiring dengan inisiatif kerajaan yang sedang menggagaskan beberapa inisiatif pemulihan ekonomi menerusi pelan hala tuju Ekonomi MADANI, dengan penekanan kepada pertumbuhan hijau, transformasi digital, dan reformasi fiskal.
“Kita perlu mengambil peluang ini untuk menyesuaikan program akademik dan latihan kita agar seiring dengan keperluan semasa pasaran dan negara,” katanya. – Nurul Hana Ahmad