Campus

SOC perkukuh strategi 2026 dan 2027 demi kecemerlangan global UUM

Gambar oleh: SOC

SINTOK, 13 Mei 2026: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS) telah mengadakan Bengkel Pemerkasaan Strategi dan Pelan Tindakan SOC Tahun 2026 dan 2027 di EDC UUM Sintok sebagai usaha memperkukuh hala tuju strategik pusat pengajian selaras dengan aspirasi universiti serta landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompetitif.

Program yang berlangsung sehari itu menghimpunkan seramai 30 peserta terdiri daripada penjawat utama, ketua dan ahli jawatankuasa Pusat Pengajian bagi membincangkan pelbagai agenda strategik universiti termasuk pengambilan pelajar antarabangsa, sumbangan alumni dan industri, penarafan QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) World University Rankings, penerbitan serta penyelidikan.

Dekan SOC, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali berkata, bengkel tersebut menjadi platform penting dalam menyelaras perancangan strategik dan memperkukuh tindakan yang lebih berfokus bagi memastikan setiap sasaran yang ditetapkan dapat dicapai secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, komitmen serta penglibatan aktif peserta dalam sesi perbincangan membuktikan kesediaan semua pihak untuk terus memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan jaringan antarabangsa demi meningkatkan reputasi universiti di persada global.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh pengambilan pelajar antarabangsa perlu dipergiat menerusi pendekatan lebih strategik dan inovatif agar SOC terus menjadi destinasi pilihan pelajar luar negara dalam bidang pengkomputeran dan teknologi digital.

Selain itu, katanya, aspek penerbitan dan penyelidikan berkualiti tinggi juga perlu diberikan perhatian berterusan memandangkan elemen tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan universiti dalam penarafan antarabangsa serta memperkukuh impak akademik warga pensyarah.

Tambah beliau lagi, kerjasama erat antara pihak pengurusan, staf akademik dan warga sokongan amat penting bagi memastikan setiap pelan tindakan yang dirancang dapat dilaksanakan secara efektif dan mampan.

Dalam masa sama, beliau berharap bengkel seperti ini dapat menjadi medium terbaik untuk mencetuskan idea baharu, memperkukuh budaya kerja berpasukan dan meningkatkan semangat sense of ownership dalam kalangan warga SOC terhadap pencapaian pusat pengajian.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta turut dibahagikan mengikut portfolio strategik bagi membincangkan cabaran semasa, peluang penambahbaikan serta cadangan inisiatif baharu yang mampu memperkukuh prestasi SOC bagi tahun 2026 dan 2027 seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan UUM secara keseluruhan. – Noor Aina Norrdin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button