Campus

Majlis Agama Islam Yala Pilih IBS-UUM Sebagai Rakan Strategik Bangunkan Universiti Islam Rahmatan Lil Alamin di Yala, Thailand

Berita dan gambar oleh: Nurzulfah Afifah Mat Tamizi

SINTOK, 10 Mei 2026 – Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (IBS-UUM) menerima kunjungan delegasi Majlis Agama Islam Yala dalam satu sesi perbincangan strategik dan jaringan kerjasama berkaitan usaha penubuhan Universiti Islam Rahmatan Lil Alamin (UIR) di Yala, Thailand.

Program tersebut menghimpunkan seramai 13 orang delegasi dari Yala yang terdiri daripada tokoh-tokoh agama dan para tok guru dari wilayah berkenaan. Delegasi tersebut diketuai oleh Sheikh Abdul Basit Ji Ma dan Sheikh Ali Mateh.

Hasrat kerjasama ini dicetuskan oleh Haji Mukhtar Ahmad yang menyuarakan keinginan agar IBS-UUM menjadi rakan strategik dalam pembangunan Universiti Rahmatan Lil Alamin sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang mampu memberi manfaat besar kepada masyarakat dan ummah di rantau tersebut.

Delegasi Yala turut menyatakan harapan agar kepakaran yang dimiliki oleh IBS dan UUM dapat dimanfaatkan dalam merealisasikan pembangunan universiti tersebut, khususnya dalam aspek pengurusan institusi, pembangunan akademik dan latihan kepimpinan.

Dekan IBS menyambut baik hasrat berkenaan dan menyatakan komitmen pihak sekolah untuk membantu melalui penggemblengan kepakaran daripada warga IBS serta seluruh warga UUM. Antara bidang yang berpotensi untuk disumbangkan termasuk teknologi maklumat (IT), multimedia, pengurusan kewangan, sumber manusia, pendidikan, kepimpinan strategik dan pelbagai bidang lain yang berkaitan.

Selain sesi perbincangan, delegasi dari Yala turut dibawa melawat sekitar kampus UUM termasuk Anjung Tamu UUM. Kebanyakan delegasi yang pertama kali menjejakkan kaki ke UUM melahirkan rasa kagum terhadap kemudahan, keindahan serta keluasan kampus universiti tersebut. Malah, terdapat dalam kalangan mereka yang menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di UUM pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, IBS juga bercadang menawarkan beberapa siri latihan dan program pembangunan kapasiti kepada pihak Majlis Agama Islam Yala meliputi aspek kepimpinan, pelan strategik, pengurusan sumber manusia, literasi kewangan dan bidang-bidang lain mengikut keperluan semasa.

Kerjasama ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan pendidikan Islam serta melahirkan institusi pendidikan tinggi Islam yang berteraskan konsep Rahmatan Lil Alamin di rantau Asia Tenggara.

Sekalung penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada Dr. Mohammad Naim Abd Halim serta seluruh pasukan yang telah menjayakan program ini dengan penuh dedikasi. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button