Education

Bersama pelihara alam sekitar, untuk generasi akan datang

SINTOK, 19 Jun 2025: Pencemaran alam, udara beracun, krisis sumber air, sungai jadi longkang industri, hutan ditebang tanpa belas, suhu dunia mencanak, iklim tidak menentu, dan bencana makin kerap antara isu alam sekitar yang semakin membimbangkan.

Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia, Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff berkata, daripada memberi fokus kepada kelestarian (sustainability), lebih baik kita beralih kepada mengimbangi semula (rebalance).

“Ini kerana kita sebenarnya tidak mampu untuk mengekalkan sesuatu yang sudah rosak teruk. Alam sekitar kini dibebani dengan pencemaran udara dan air, pelepasan karbon yang tidak terkawal, serta penebangan hutan yang berleluasa.

“Kita sedang mengalami kerugian bukan sahaja terhadap alam sekitar, tetapi juga terhadap kesihatan manusia, ekonomi, dan masa depan generasi akan datang.

“Penyelesaian kita bukan sekadar mengekalkan, tetapi memulihkan dan mengimbangi semula misalnya memulihkan semula sungai yang tercemar, menanam pokok di hutan dan menghapuskan pencemaran dari punca, bukan hanya kawal,” ujarnya ketika merasmikan STML Green Carnival 2025: Trouvaille Towards Ecofusion di Dewan Seminar C, STML, semalam.

Selain itu katanya, telefon dan internet yang ada pada kita sebenarnya datang daripada teknologi ketenteraan.

Menurut tokoh yang berpengalaman luas ini, dengan teknologi juga mereka boleh mengubah cuaca dengan menghasilkan letupan, mencipta tsunami dan malapetaka lain.

“Telefon di tangan kita bukan sekadar alat komunikasi malah boleh menjadi senjata paling ampuh untuk menyelamatkan bumi, jika bijak menggunakannya.

“Dengan hanya menggunakan telefon, kita boleh mendidik dan menyebarkan kesedaran terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Kita mampu menjadi agen perubahan misalnya merakam pencemaran, berkongsi maklumat alam sekitar, dan menyebarkan kesedaran kepada ribuan orang hanya dengan satu klik.

“Anda adalah generasi masa depan, persiapkan dengan ilmu pengetahuan. Jangan ambil apa yang bukan milik kita, buat apa yang boleh, dan bantu orang yang memerlukan pertolongan kita,” pesannya berkongsi prinsip.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML),  Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh berkata, karnival ini bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi menjadi manifestasi komitmen UUM dalam menyokong agenda kelestarian alam dan inovasi hijau.

Jelasnya, tema ‘Trouvaille Towards Ecofusion’ membawa maksud yang cukup mendalam, iaitu bagaimana penemuan baharu (trouvaille) dalam pemikiran, teknologi dan tindakan boleh menyatu (ecofusion) dalam membentuk masa depan yang lestari dan berdaya tahan.

“Sejajar dengan falsafah kemajuan negara Malaysia yang berfokuskan kepada pembangunan manusia yang selari dengan revolusi sains dan teknologi, penekanan kepada pengisian dan pemantapan nilai telah dititikberatkan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara holistik.

“Pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem semula jadi perlu menjadi amanah bagi menjamin pembangunan masyarakat secara Inklusif dan mampan. Usaha seperti ini amat bertepatan dengan hasrat UUM untuk membentuk graduan holistik, berpengetahuan, beretika, berketerampilan dan berkepimpinan,” tambahnya.

Beliau percaya, penyertaan aktif dalam program seperti ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk meneroka potensi diri, mengasah bakat kepimpinan, serta membina kepekaan terhadap isu global, khususnya dalam konteks perubahan iklim, pembangunan mampan, dan inovasi sosial.

Karnival tiga hari ini menampilkan pelbagai program yang menarik dan bermanfaat antaranya: Sesi Bual Bicara bersama Yang Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff, Waste To Money, Eco Station Game, Healthy Masterchef Competition, Golf Clinic, selain dimeriahkan dengan reruai keusahawanan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button