Webinar Kesedaran Jantung tekan pendekatan gaya hidup sihat di tempat kerja
Gambar Zul Rusydi Hussin
SINTOK, 23 Jun 2025: Jawatankuasa Keselamatan Risiko dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Undang-undang (SoL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu webinar bertajuk “Kesihatan Jantung di Tempat Kerja: Amalan Terbaik untuk Kakitangan” secara dalam talian, baru-baru ini.
Webinar yang berlangsung selama satu jam itu telah disampaikan oleh Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman dari Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru, Dr. Azrina Abdul Kadir, bersama moderator, Zul Rusydi Hussin, Ketua Penolong Pendaftar SoL.
Beliau berkongsi pelbagai panduan dan amalan terbaik dalam menjaga kesihatan jantung khususnya dalam konteks persekitaran kerja.
Program ini telah menerima penyertaan seramai 80 orang daripada staf UUM dan peserta luar yang berminat untuk meningkatkan kesedaran kesihatan diri.
Sementara itu, Dekan SoL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, yang memberi sokongan penuh kepada program ini berharap percambahan ilmu ini dapat memberi kesedaran kepada peserta betapa kesihatan jantung amat penting dititiberatkan demi kesejahtaraan dan produktiviti kakitangan SoL khususnya dan warga UUM amnya.
Menurutnya, inisiatif ini selari dengan usaha universiti ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan produktif, serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan kesihatan dan kesejahteraan. – Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh