Campus

STML Green Carnival tampilkan perintis inovasi industri kitar semula dalam Sesi “Innovation Talk”

Gambar STML

SINTOK, 23 Jun 2025: Pusat Pengurusan Teknologi Maklumat dan Logistik (STML) telah menganjurkan sesi Innovation Talk yang penuh wacana intelektual dan inspirasi sempena program tahunan STML Green Carnival, bertajuk “Stay Hungry, Stay Foolish: A Journey from STEM to Sustainability Entrepreneurship.”

Program ini telah menampilkan Pengasas dan Pengarah Teknikal Materials in Works (MIW) Sdn. Bhd., Mr. John Ooi sebagai ikon industri yang menerajui inovasi dalam ekonomi kitaran.

Dalam sesi yang berlangsung, beliau telah berkongsi perjalanan transformasi daripada bidang sains kepada keusahawanan lestari yang berpaksikan kelestarian alam dan impak sosial.

Menariknya, idea untuk menghasilkan pulpa kertas buatan Malaysia daripada bahan kitar semula tercetus sewaktu negara berdepan krisis kekurangan tisu tandas semasa pandemik COVID-19. Ketika itu, kekangan import akibat gangguan rantaian bekalan global telah mendedahkan keperluan mendesak untuk membina rantaian bekalan tempatan yang mampan.

Dari sinilah lahirnya inisiatif untuk mengolah sisa pelapik kertas (paper liner) iaitu bahan buangan industri yang sukar dikitar semula kepada Recovered Cellulose Pulp (RCP), iaitu bahan mentah berkualiti tinggi yang boleh digunakan dalam penghasilan tisu dan produk kertas premium tempatan.

Bersandarkan prinsip ESG (Environmental, Social and Governance), pendekatan inovatif MIW selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim). Inisiatif ini turut mengangkat nilai-nilai dalam kerangka Malaysia MADANI, terutama dalam teras Kemampanan, Kesejahteraan, dan Inovasi, selaras dengan aspirasi negara ke arah pembangunan mampan berasaskan ilmu dan nilai.

Sesi yang disertai oleh pelajar daripada pelbagai disiplin ilmu ini telah memberi pendedahan langsung kepada konsep ekonomi kitaran, potensi keusahawanan hijau serta cabaran dunia industri masa kini. Peserta turut menunjukkan minat dan komitmen untuk menjadikan inovasi sebagai medium perubahan sosial dan alam sekitar.

STML Green Carnival terus memainkan peranan penting sebagai platform holistik dalam memperkasa budaya kelestarian dan inovasi dalam kalangan mahasiswa UUM, seiring dengan visi universiti untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdaya saing, beretika dan berpaksikan prinsip MADANI. – Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button