Campus

Bicara inspirasi suntik semangat staf SBM

SINTOK, 25 Jun 2025: Sebagai penjawat universiti, tanggungjawab yang digalas bukanlah sesuatu yang ringan. Peranan ini merupakan satu amanah besar yang menuntut komitmen, keikhlasan, dan integriti yang tinggi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, bagi seorang pensyarah, tanggungjawab bukan sahaja tertumpu kepada tugas mendidik dan menyampaikan ilmu, tetapi juga merangkumi peranan sebagai pemimpin dalam sebuah organisasi yang kompleks serta pelbagai cabaran.

“Untuk menjadi ahli akademik yang cemerlang, seseorang itu perlu memiliki lebih daripada sekadar ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal.

“Kecemerlangan akademik merangkumi keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan kreatif, menjalinkan kerjasama dengan industri, menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi, serta melibatkan diri secara aktif dalam pemindahan ilmu kepada masyarakat.

“Ahli akademik yang cemerlang juga berperanan penting dalam pembangunan sumber tenaga manusia negara. Melalui pendidikan yang berkualiti, latihan yang relevan dan penyelidikan yang menyumbang kepada penyelesaian masalah semasa, kita berupaya melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berdaya saing, beretika dan mempunyai kepimpinan,” ujarnya.

Dalam melaksanakan peranan ini, katanya, kekuatan peribadi seperti sikap, disiplin, ketekunan dan daya tahan amat diperlukan. Namun, ia perlu disertai dengan nilai integriti, kejujuran ilmiah, dan tanggungjawab sosial yang tinggi agar segala tindakan dan keputusan kita sentiasa berada dalam landasan yang betul.

Selain itu katanya, dalam merancang, melaksana dan menilai sesuatu tindakan atau dasar, kita tidak boleh beroperasi secara terasing daripada persekitaran luaran.

“Apa jua yang kita rancang dan lakukan sama ada merangka dasar akademik, memperkenalkan program baharu, melaksanakan penyelidikan, atau mengurus organisasi perlu mengambil kira analisis PESTEL agar setiap keputusan yang dibuat bersifat menyeluruh, strategik dan berkesan dalam jangka panjang,” kongsinya.

Justeru katanya, PESTEL iaitu ‘Political, Economic, Social, Technological, Environmental dan Legal’ merupakan analisis strategik yang mengambil kira semua perubahan yang berlaku di persekitaran, termasuklah teknologi baharu.

“Dasar pendidikan contohnya, dana kerajaan kepada universiti awam yang semakin berkurangan boleh memberi impak besar kepada hala tuju sesebuah universiti atau program akademik.

“Perkembangan teknologi memberi kesan besar kepada dunia pendidikan. Penggunaan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran dalam talian serta data besar (big data) dalam analisis prestasi pelajar menjadi keperluan yang tidak boleh diabaikan.

“Universiti mesti bijak menyesuaikan diri dengan kemajuan ini agar terus kekal relevan,” ujarnya. dalam program bual bicara bertajuk “Academia and Future Governance: Roles, Responsibilities and Strategic Synergy” yang berlangsung di Bilik Kedah, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), semalam.

Sementara itu, Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, program bual bicara ini memberi peluang kepada akademia mendengar serta berpeluang untuk berbual, bertanya atau berkongsi cadangan bagi memastikan apa yang dilaksanakan nanti selari dengan hasrat dan hala tuju UUM dan akademik negara.

“Saya yakin perkongsian hari ini akan memberi suntikan yang baru serta membuka jalan kepada   kakitangan akademik bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pemegang taruh   serta meningkatkan kecemerlangan kerjaya sebagai pendidik,” katanya.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Dr. Noor Hafiza Zakariya berkata, sebagai peserta sesi perkongsian bersama Tan Sri dapat menambah input baharu berkaitan tadbir urus dalam keluarga besar UUM.

“Penjelasannya dapat memperluaskan konsep dan peranan aktif yang perlu dimainkan oleh pensyarah dan juga staf di SBM dan yang paling penting membuat keputusan  yang tepat pada masa dan tempat yang sesuai sekali gus dapat memperkasakan amalan dan praktis tadbir urus pada masa hadapan.

“Pensyarah membentuk masa depan bukan sekadar graduan, tetapi pemimpin berwawasan yang memahami realiti global dan bertindak dengan kepekaan lokal. Pendidikan tinggi bukan lagi hanya mengenai kelayakan, tetapi tentang mencorak nilai, sikap dan kepimpinan yang mampan dalam dunia yang sentiasa berubah,” ujarnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button