Campus

KWSP Padawan cungkil idea inovatif mahasiswa mengenai literasi kewangan dan persaraan

Gambar oleh: Dr. Fikriyah Abdullah

SINTOK, 9 Jun 2026: Program KWSP Padawan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 2/6, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan penglibatan mahasiswa yang membentangkan pelbagai idea dan cadangan berkaitan perancangan kewangan serta kesedaran tentang persaraan.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Perbankan dan Kewangan (SEFB) di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK), sekali gus berjaya menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam menyelesaikan cabaran sebenar industri.

Kerjasama strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini turut memperkukuh usaha melahirkan graduan yang lebih celik kewangan, berdaya saing dan bersedia merancang masa depan dengan lebih baik.

Melalui program ini, para peserta diberi peluang membentangkan pelbagai idea dan cadangan inovatif yang memfokuskan penambahbaikan produk dan perkhidmatan berkaitan persaraan, literasi kewangan serta kesejahteraan kewangan masyarakat.

Pembentangan yang dihasilkan turut mengetengahkan pendekatan kreatif dalam memperluas capaian dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan simpanan persaraan, di samping mengasah kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dalam kalangan mahasiswa.

Turut hadir dalam sesi pembentangan ialah Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah; Penyelaras SoHK, Dr. Aidanajwa Sabri; Pengarah Dana Sosial Takaful (STF), Dr. Mohamad Yazid Isa; serta Pensyarah SEFB, Norliza  Dasahi.

Sesi pembentangan turut dihadiri wakil KWSP, Pengarah Wilayah Utara KWSP, Jeffary  Haji Mohamed Isa; Ketua Cawangan KWSP Alor Setar, Md Sabri Hamid; Pengurus Kanan KWSP Wilayah Utara, Rozanah Abdul Rahim; bersama dua lagi wakil daripada KWSP Alor Setar.

Pada sebelah petang, peserta menyertai Kempen Kesedaran Perancangan Persaraan yang diadakan di hadapan CMART, Changlun bersempena Program Do It Fest, iaitu program anjuran STF, IBS dan Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ).

Kempen tersebut bertujuan mendekatkan masyarakat dengan maklumat berkaitan kepentingan membuat persediaan kewangan dan simpanan persaraan sejak usia muda.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen UUM dan KWSP dalam melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap pengurusan kewangan serta bersedia merancang masa depan dengan lebih bijak. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button