Dato’ Afdlin Shauki lancar inisiatif UUMKL perkasa belia tangani ancaman akaun keldai
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abd Rahman
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah menganjurkan Program Kesedaran Pencegahan Akaun Keldai dalam Kalangan Belia menerusi Geran Inovasi Sosial di PPR Kampung Baru Air Panas, baru-baru ini.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Parlimen Setiawangsa, Dato’ Afdlin Shauki Aksan.
Afdlin Shauki berkata, program yang mendapat sokongan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) disertai lebih 100 belia dari komuniti setempat itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya serta implikasi penglibatan dalam aktiviti akaun keldai yang semakin membimbangkan dalam era digital masa kini.
Menurutnya, pendedahan kepada isu akaun keldai amat penting memandangkan masyarakat, khususnya golongan belia, semakin terdedah kepada pelbagai bentuk penipuan dan manipulasi kewangan yang menggunakan akaun individu sebagai medium transaksi jenayah.

Sebelum pelaksanaan program kepada komuniti, satu siri bengkel berkonsepkan Transfer of Knowledge (ToK) telah dilaksanakan melibatkan pengerusi-pengerusi MPP dan pemimpin komuniti di setiap sub zon bertujuan memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran peserta sebagai agen penyebar maklumat kepada komuniti setempat.
Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan penyelidik UUMKL yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abd Rahman bersama dua ahli penyelidik iaitu Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan dan Dr. Wan Fatimah Solihah Wan Abd Halim.
Bagi menyokong pelaksanaan program, pasukan penyelidik UUMKL telah membangunkan satu siri modul latihan yang dijadikan asas rujukan dalam bengkel berkonsepkan Training of Trainers (ToT) bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan pencegahan akaun keldai dapat dilaksanakan secara sistematik dan berkesan kepada masyarakat.
Dr. Nik Adzrieman berkata, usaha memperkasakan komuniti melalui pendidikan dan kesedaran merupakan langkah penting dalam membina ketahanan sosial terhadap ancaman jenayah kewangan digital.

“Pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh menerusi program ini diharapkan dapat menjadi benteng baharu kepada penduduk PPR dalam mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa atau terlibat secara tidak sedar dalam aktiviti akaun keldai,” katanya.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat melalui pemindahan ilmu, penyelidikan berimpak tinggi dan penglibatan komuniti selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju pendidikan dan pembangunan sosial negara.
Turut hadir ialah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Kampung Baru Air Panas, Abd. Razak Itam; Pengerusi MPP Sub Zon 1 hingga Zon 6, Mohd Rais Hamdan, Mohd Asri Mohd Nor, Md. Isa Kasim, Mohd Shahril Hassan, Mohd Bahgia Mamat dan Mohamad Faidzal Ibrahim.



