KERIS-25 semarakkan budaya inovasi dan kreativiti
Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 26 Jun 2025: Konvensyen Reka Cipta dan Inovasi UUM 2025 (KERIS-25) menyemai dan memperkukuh budaya inovasi serta kreativiti dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) dan komuniti luar.
Ketua Pustakawan UUM, Prof. Dr. Che Azlan Taib berkata, program ini turut berperanan sebagai medium penyelesaian masalah secara kreatif, dan cetusan idea inovatif diyakini mampu melonjakkan prestasi organisasi agar kekal berdaya saing dan relevan pada tahap yang lebih cemerlang.
“Penganjuran majlis ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada individu dan kumpulan yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan serta memberi impak besar terhadap perkembangan dan kemajuan organisasi, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang taruh universiti.
“Program KERIS-25 ini turut menyokong aspirasi dan cadangan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, yang menekankan kepentingan inovasi berkualiti dan usaha menangani pembaziran dalam sesebuah organisasi,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Reka Cipta dan Inovasi UUM 2025 (KERIS-25) di Auditorium 2, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).
Menurutnya, aliran idea dan pelaksanaan inovasi seharusnya bersifat dua hala, sama ada berbentuk arahan dari atas (top-down) mahupun hasil inisiatif dari peringkat akar umbi (bottom-up).
Beliau menyeru semua agar tidak pernah jemu untuk terus berinovasi dan mencari idea baharu demi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
“UUM sentiasa menggalakkan percambahan idea secara kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar dan staf, selaras dengan sistem pembelajaran, latihan dan pengajaran yang berteraskan pembangunan sahsiah serta keunggulan peribadi.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak PSB atas penganjuran program yang menampilkan elemen keilmuan, kreativiti dan inovasi, serta kepada para peserta dari pelbagai organisasi dan institusi atas komitmen dan penyertaan aktif sepanjang konvensyen berlangsung.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan reka cipta yang masing-masing membawa pulang wang tunai, sijil penghargaan dan trofi.
Bagi kategori pelajar, kumpulan REKA dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) muncul johan yang membawa pulang wang tunai RM600 diikuti kumpulan SCIMPA Explorers yang menerima RM300 dan kumpulan Warisan Fighter dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang membawa pulang RM250.
Bagi kategori staf pula, johan dimenangi oleh kumpulan SMMTC TECHED dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) yang menerima RM800. Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan INFINITHINK dari PSB dengan menerima RM600 seterusnya Dr. Farahiyah Fadzil dari Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), yang turut menerima wang tunai RM300. – Siti Fatimah dan Nurul Hana Ahmad