Campus

Kolaborasi IHM–INHART buka ruang perkongsian ilmu kosmetik halal

Berita dan gambar Dr. Norazilawati Md Dahlal

SINTOK, 1 Julai 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengurusan Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program sulung bersama Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi sesi ilmiah bertajuk Halal Sharing Session: From Kitchen to Market – Starting a Halal Natural Skincare Brand di Bilik Latihan FWD, IBS.

Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, program ini menjadi platform strategik untuk merintis kolaborasi akademik dalam bidang halal.

Dua penceramah dari INHART UIAM iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Amal Elgharbawy dan Penolong Prof. Dr. Nurhusna Samsudin, telah dijemput sebagai panel perkongsian.

Sesi ini mengupas secara menyeluruh konsep halal dan aplikasi prinsip halal dalam perniagaan, dengan memberi tumpuan kepada kepentingan membina perniagaan yang patuh syariah serta elemen penting dalam Halal Business Canvas.

Perkongsian turut menyentuh perkembangan dan cabaran industri kosmetik serta penjagaan diri, termasuk perbezaan antara kosmetik konvensional dan kosmetik halal, serta pematuhan kepada piawaian halal di Malaysia.

Peserta telah diberikan pendedahan terhadap realiti pasaran tempatan, strategi pembangunan produk, dan inovasi dalam penghasilan kosmetik semula jadi dari dapur hingga ke pasaran. Sesi turut diserikan dengan perkongsian projek kelas pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal (BAHIM), UIAM sebagai manifestasi kefahaman dan kreativiti dalam membangunkan produk halal mereka sendiri.

Program ini turut dihadiri oleh pelajar mobiliti dari Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel, Surabaya, Indonesia. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan halal berasaskan integrasi ilmu, nilai dan jaringan antarabangsa.

Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama dua institusi terkemuka dalam bidang halal, malah membuka lembaran baharu untuk inisiatif bersama dalam penyelidikan, latihan dan inovasi produk halal yang bersifat lestari dan berimpak tinggi.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button