Education

Uji bakat INNOVATHON dedah pelajar UUM kepada program inovatif realiti kerajaan

Berita dan gambar Mohamad Lutfi Idris

PULAU PINANG, 1 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghantar penyertaan 15 produk inovatif yang dibangunkan oleh 30 pelajar dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) ke uji bakat INNOVATHON musim ke-3 baru-baru ini di Digital Penang.

Program realiti INNOVATHON merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, dan ASTRO bertujuan mencungkil bakat inovatif dalam kalangan masyarakat Malaysia, dan mengetengahkan produk-produk berpotensi untuk dikomersialkan.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Ts. Mohd Faizal Omar berkata, pada tahun lalu, UUM telah menghantar tiga projek inovasi dari kalangan staf ke uji bakat INNOVATHON musim ke-2.

“Pada tahun ini, kita mempertaruhkan 15 projek kesemuanya dari kalangan pelajar secara umumnya untuk memberikan pendedahan berharga kepada pelajar mengenai selok belok program realiti kerajaan,” katanya.

Dr. Faizal turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mentor projek inovasi dari SOC, STML dan SQS yang banyak memberi bimbingan dan panduan kepada pelajar untuk mendapatkan idea inovasi sehingga terbentuknya produk-produk digital yang berkualiti bagi mewakili UUM.

Delegasi UUM ke uji bakat tersebut diiringi oleh staf ICC iaitu Nur Azhanie Mohd Kamil, dan Mohamad Lutfi Idris.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button