Pelajar SCIMPA serlahkan warisan budaya Malaysia di ASEAN+3 Youth Cultural Forum 2025
Berita dan gambar Dr. Syamsul Hirdi Muhid dan Mohamad Amir Abu Seman
BANGKOK, 1 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menyertai 20th ASEAN dan 10th ASEAN+3 Youth Cultural Forum yang berlangsung dari 22 hingga 27 Jun 2025 di Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand.
Forum berprestij ini menghimpunkan lebih dari 300 peserta dari 30 universiti terkemuka merangkumi 11 buah negara di rantau ASEAN+3, termasuk China, Jepun dan Korea Selatan, bagi meraikan kepelbagaian budaya dan memperkukuh perpaduan serantau.
Forum tahun ini yang bertemakan “Cultural Roots and Rhythms: Flourishing Together in Unity and Harmony”, memberi penekanan kepada usaha memupuk persefahaman dan persahabatan melalui seni tradisional, persembahan budaya dan dialog antara budaya.
UUM diwakili oleh empat pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif daripada SCIMPA iaitu Nur Anis Natasha Abdullah, Dhia Qistina Noorazhari, Noraisyafika Mohammad Nazri, dan Muhammad Aniq Danial Rosman berserta pensyarah pengiring, Mohamad Amir Abu Seman.
Salah satu kemuncak forum ini adalah persembahan kebudayaan semasa majlis perasmian, di mana UUM bersama delegasi dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan persembahan mewakili Malaysia.
Persembahan ini menampilkan gabungan yang menarik antara nyanyian, tarian tradisional, dan deklamasi sajak, yang mana telah berjaya mempersembahkan warisan budaya Malaysia secara kreatif dan penuh bersemangat.
Forum ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Eksekutif ASEAN University Network (AUN), Prof. Madya Dr. Thanapan Laiprakobsup.
Beliau menekankan kepentingan kefahaman antara budaya dan peranan penting golongan belia dalam membina keharmonian serta kerjasama serantau dalam ucapannya.
Sepanjang program berlangsung, delegasi UUM turut menyertai pelbagai bengkel kebudayaan dan lawatan budaya, sambil berinteraksi dan membina jaringan dengan rakan-rakan dari seluruh rantau ASEAN+3.
Penyertaan UUM dalam forum ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang berpandangan global, celik budaya dan bersedia memainkan peranan sebagai pemimpin belia dalam memelihara serta mempromosikan warisan budaya negara di peringkat antarabangsa.