Campus

Our Climate, Our Future: STML seru tindakan hijau melalui Forum Inspirasi

Berita dan gambar Faiznor Azmi (Pelajar STML)

SINTOK, 2 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan forum bertajuk “Our Climate, Our Future: Uniting Minds for a Greener Tomorrow” yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kelestarian tahunan STML Green Carnival 2025.

Forum ini menampilkan tiga panelis jemputan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Pengasas Zero Waste Asia Sdn. Bhd., Mr. Tan Leng Hock; Pengerusi Program Pascasiswazah, Pusat Pengajian Undang-Undang UUM, Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar, dan Pengasas Food Bank Malaysia, Mohd Azrul Mohd Razak.

Ketiga-tiga panelis berkongsi cabaran, pengalaman serta inisiatif berkaitan perubahan iklim dan kelestarian berdasarkan kepakaran mereka dalam sektor industri, perundangan dan komuniti.

Forum ini telah dikendalikan dengan cemerlang oleh pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Zul Haziq Ibrahim, yang bertindak sebagai moderator.

Forum ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami isu perubahan iklim dari pelbagai perspektif, merangkumi aspek pengurusan sisa industri, peranan dasar dan undang-undang alam sekitar, serta inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengurangkan pembaziran makanan.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk kepentingan kerjasama rentas sektor (kerajaan-industri-NGO), pendekatan ekonomi kitaran (circular economy), dan peranan generasi muda dalam melaksanakan tindakan kecil yang memberi impak besar ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari.

Perkongsian ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar terhadap isu kelestarian alam sekitar, malah turut memberi inspirasi untuk mereka bertindak secara proaktif dalam kehidupan seharian demi menyokong usaha global menangani perubahan iklim.

Secara keseluruhannya, forum ini telah mencapai matlamatnya sebagai platform pendidikan dan inspirasi, selaras dengan komitmen STML untuk melahirkan graduan berfikiran hijau, bertanggungjawab serta berdaya saing di peringkat global.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button