Bintang Cilik Menyulam Impian pelajar UUM ceriakan anak yatim DAYA
Gambar Nuha Nusaibah Mohd Isa
ALOR SETAR, 3 Julai 2025: Sebuah program penuh makna bertajuk Bintang Cilik Menyulam Impian telah berjaya dianjurkan di Pusat Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim (DAYA) yang menghimpunkan seramai 38 Exco Persatuan Pengurusan Pembangunan serta pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi menceriakan 19 anak-anak istimewa dari pusat kebajikan tersebut.
Aktiviti dimulakan dengan sesi senamrobik berjaya membina suasana ceria dan menjalin keakraban antara peserta dan anak-anak DAYA. Seterusnya, aktiviti explorace dijalankan untuk memupuk nilai bertolak ansur, semangat kerja berpasukan dan tanggungjawab dalam kalangan peserta.
Slot ketiga bermula di Dewan Serbaguna dengan aktiviti yang menguji kepekaan dan kreativiti anak-anak dalam pelbagai tugasan menarik.
Sesi petang diteruskan dengan aktiviti berbentuk kerjasama kumpulan, memberi ruang kepada anak-anak untuk berkongsi pengalaman hidup mereka serta harapan masa depan. Slot ini membuka hati peserta untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik dan peranan masyarakat dalam membantu mereka.
Majlis penutup dirasmikan oleh Pengerusi Program Pengurusan Pembangunan, Mohd Syahril Said yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta menitipkan pesanan penuh makna kepada peserta:
“Jadikan pengalaman hari ini sebagai peringatan untuk kita semua bahawa sekecil-kecil usaha mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan orang lain.
“Teruslah menyumbang walau hanya dengan senyuman dan kasih sayang. Semoga nilai empati dan keprihatinan ini dibawa ke mana sahaja kalian melangkah,” katanya.
Beliau turut menasihati peserta dan anak-anak di pusat kebajikan agar sentiasa menjaga solat, kerana itu adalah asas kejayaan hidup.
“Jangan pernah berhenti berdoa walau dalam kesusahan, dan teruskan berusaha untuk capai impian. Yakinlah, setiap usaha yang ikhlas pasti akan membuahkan hasil,” katanya.
Program ini turut mendapat sokongan daripada penaja utama, Anggun Cotton Collection, yang telah menyumbangkan baju kurung dan kurta baharu kepada anak-anak yatim sebagai tanda kasih dan penghargaan. Sumbangan ini telah menggembirakan hati anak-anak.
Keseluruhannya, Bintang Cilik Menyulam Impian bukan sahaja mencipta kenangan manis buat anak-anak di pusat kebajikan, malah turut menyemai semangat tanggungjawab sosial dan nilai kemanusiaan dalam diri mahasiswa serta semua yang terlibat. – Ainin Najihah Mohd Zulkifli