Pelajar SLCP dedah murid SRAZ kepada warisan dan teknologi AI melalui projek SULAM
Gambar SLCP
JITRA, 3 Julai 2025: Seramai 90 murid Tahun Lima Sekolah Rendah Agama Al Azhar (SRAZ), Mukim Gelong, Jitra, telah terlibat dalam Projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Warisan Kita, Jati Diri Kita” yang diadakan pada Selasa lalu.
Program ini dianjurkan oleh pelajar Program Sejarah Gunaan dari kursus Seminar Sejarah Gunaan (SALNK3623), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), sebagai satu bentuk penglibatan akademik berimpak tinggi yang mengintegrasikan pembelajaran dalam bilik kuliah dengan khidmat masyarakat.
Pensyarah pengiring, Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambely berkata, program ini memberi ruang kepada pelajar Program Sejarah Gunaan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang tempoh enam semester pengajian mereka. Antaranya menerusi kursus seperti Aplikasi Teknologi Maklumat dalam Sejarah Gunaan (SALNK2313) dan Aplikasi IT dalam Sejarah (SALNK3513).
“Melalui projek ini, pelajar bukan sahaja mempraktikkan ilmu akademik mereka, malah turut menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti.
“Pendedahan murid kepada teknologi AI dalam konteks pembelajaran sejarah merupakan satu inovasi yang amat bermakna,” katanya.
Beliau berkata, objektif utama projek ini adalah untuk memperkukuh jati diri murid melalui pendekatan sejarah dan teknologi, sejajar dengan prinsip SULAM yang menekankan pembelajaran melalui pengalaman serta penglibatan komuniti secara langsung.
Program SULAM ini merangkumi dua aktiviti utama yang dilaksanakan dalam bentuk permainan dan aplikasi iaitu Eksplorasi Sejarah yang berasaskan permainan interaktif berpandukan kandungan buku teks Sejarah Darjah 5. Aktiviti ini termasuk silang kata lambang negara, menyusun gambar Perdana Menteri Malaysia, pengenalan sistem beraja melalui kad, dan mengenal pasti kedudukan negeri-negeri di Malaysia.
Aktiviti kedua adalah penerokaan Aplikasi AI dalam Sejarah iaitu murid diajar mencipta flipbook sejarah menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk menjana imej dan kandungan visual sejarah secara kreatif.
Sementara itu, Guru Besar SRAZ, Mohd Razman Ramzan berkata, program ini memberikan pengalaman baharu kepada murid yang selama ini lebih banyak didedahkan dengan program berkaitan sains dan teknologi (STEM) sahaja.
“Mereka menyatakan penghargaan atas usaha pelajar UUM yang berjaya menarik minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah dengan pendekatan yang lebih menyeronokkan dan inovatif,” katanya.
Projek ini mencerminkan komitmen UUM dalam mendukung aspirasi Malaysia Madani melalui pelaksanaan SULAM, iaitu program pembelajaran servis yang menjalin kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat demi memperkukuh pembinaan sahsiah, identiti nasional dan pemahaman sejarah dalam kalangan generasi muda. – Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambely