UUM perkukuh agenda komuniti melalui Program Pemindahan Ilmu (KTP) Ekonomi Madani 2026
Gambar Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib
BUKIT KAYU HITAM, 15 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pemerkasaan komuniti melalui pelaksanaan Program Pemindahan Ilmu (KTP) Ekonomi Madani 2026 menerusi penganjuran Sesi Profiling dan Taklimat Awal Program Keusahawanan Kelulut yang berlangsung di Dewan BAKAT, Kem Rejimen Sempadan 5, Bukit Kayu Hitam.
Program ini merupakan projek pemerkasaan ekonomi komuniti di bawah inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta dilaksanakan di bawah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM.

Program ini telah dihadiri oleh barisan penyelidik UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie bersama Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib, Dr. Safwan Marwin Abdul Murad dan Syahrina Abdullah.
Kehadiran mereka disambut oleh pihak kem yang diketuai oleh Pegawai Memerintah (CO RS5), Leftenan Kolonel Nor Hishamudin Ahmad, Kapten Abdul Halim Ali, Mejar Mohd Fauzi Mohamad, Leftenan Muhamad Rasid Azmi dan Leftenan Mohamad Fitri Abdul Wahab.
Dr. Mohamad Khadafi berkata, antara pengisian utama program ialah Sesi Profiling Peserta Penternakan Kelulut yang bertujuan mengenal pasti latar belakang, minat serta tahap kesediaan peserta untuk menceburi bidang keusahawanan kelulut.
Selain itu, peserta turut mengikuti sesi motivasi keusahawanan yang memberi pendedahan awal mengenai potensi industri kelulut sebagai sumber pendapatan alternatif yang mampan.

Program ini turut menampilkan taklimat awal pelaksanaan Program KTP Ekonomi Madani 2026 yang memberikan gambaran menyeluruh tentang struktur program, modul latihan, serta perancangan aktiviti yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Melalui sesi ini, peserta didedahkan kepada kelebihan dan peluang dalam bidang keusahawanan kelulut, termasuk aspek pengurusan, pemasaran dan kelestarian produk.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, kumpulan penyelidik UUM bersama peserta dan anggota tentera turut mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kawasan yang berpotensi untuk pelaksanaan projek penternakan kelulut. Lawatan ini turut disusuli dengan perbincangan lanjut berkaitan proses dan perancangan seterusnya bagi merealisasikan projek Ekonomi Madani Keusahawanan Kelulut 2026.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memastikan kesiapsiagaan peserta sebelum pelaksanaan projek sebenar, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara UUM dan Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha memperkasa ekonomi komuniti melalui pendekatan keusahawanan berasaskan ilmu.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Pengerusi Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT), Siti Nor Zemila Abdullah bersama Naib Pengerusi, Shah Nurhidayu Shahbuddin dan seramai 20 ahli BAKAT yang merupakan peserta sasaran program. – Syahrina Abdullah



