Bengkel penyediaan kertas kerja perkasa kompetensi staf UUM COLGIS
Berita dan gambar Abu Bakar Omar Hamdan
SINTOK, 7 Julai 2025: Pejabat Penolong Naib Canselor, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUM COLGIS), Universiti Utara Malaysia, dengan penglibatan semua Pusat Pengajian di bawah UUM COLGIS, telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Kertas Kerja yang berlangsung di Makmal Komputer Eksekutif, Pusat Konvensyen, UUM.
Bengkel ini bertujuan untuk memperkukuh kompetensi peserta dalam menyediakan kertas kerja yang komprehensif, sistematik dan berkualiti tinggi, selaras dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh universiti. Sepanjang sesi, para peserta didedahkan secara mendalam kepada struktur kandungan, elemen penting serta teknik pembentangan kertas kerja yang efektif.
Program ini disertai oleh staf pentadbiran dan akademik daripada semua Pusat Pengajian di bawah UUM COLGIS, dengan bimbingan daripada Puan Nor Arpizah Atan, Ketua Penolong Pendaftar UUM Press, yang turut berkongsi panduan serta memberi bimbingan praktikal kepada peserta. Usaha ini bertujuan membantu peserta menghasilkan dokumen rasmi yang lebih mantap serta meningkatkan keyakinan dalam mengemukakan cadangan.
Menurut penganjur, penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Penolong Naib Canselor UUM COLGIS dalam memperkasa budaya kerja profesional dan meningkatkan keberkesanan operasi jabatan. Program seumpama ini diyakini mampu menyumbang ke arah penambahbaikan kualiti pentadbiran dan akademik secara berterusan.