Program Latihan Kendiri dan Motivasi Siri 1 mantapkan persediaan pelajar BHalal hadapi latihan industri
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
SINTOK, 7 Julai 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pemantapan Diri Siri 1: Latihan Kendiri dan Motivasi sebagai sebahagian daripada persediaan awal pelajar Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal) Kohort A231 untuk menghadapi latihan industri bermula Mac 2026.
Program separuh hari yang berlangsung di Dewan Bukit Kachi, Inapan Siswa (Inasis) Bank Rakyat ini melibatkan penyertaan seramai 45 pelajar.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Makmor berkata, ia bertujuan membina kekuatan dalaman, jati diri dan ketahanan mental pelajar dalam menghadapi realiti dunia pekerjaan yang mencabar, selari dengan pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) dalam program BHalal.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan kendiri pelajar sebagai pelengkap kepada keperluan akademik dan profesional industri halal.
Sesi latihan dikendalikan oleh Pengurus Besar T Ilmi Consultancy & Training, Norwati Che Kar yang mempunyai kepakaran dalam terapi emosi dan pembangunan potensi diri.
Menerusi program ini, pelajar dibimbing melalui aktiviti kesedaran emosi, refleksi kendiri, teknik relaksasi, serta perkongsian realiti cabaran tempat kerja yang memberi kesan kepada kesejahteraan mental.
Menjelang akhir program, pelajar dilihat lebih tenang, terbuka dan bersemangat. Ramai yang meluahkan rasa lega dan terinspirasi, memandangkan pendekatan yang diterapkan sangat berbeza daripada suasana pembelajaran biasa di dalam kelas.
Program ini berjaya mencetuskan ruang refleksi peribadi yang jarang mereka peroleh, sekali gus memperkukuh persediaan mental dan emosi menjelang latihan industri yang akan datang.
Program ini menjadi platform awal untuk pelajar menilai kekuatan diri, mengenal emosi yang belum diurus, dan menetapkan matlamat kerjaya secara lebih jelas serta realistik, selain turut mengukuhkan aspek keseimbangan emosi, spiritual dan profesionalisme yang penting dalam membentuk graduan berdaya tahan dan beretika.