Education

Elemen patriotik ungguli Pertandingan Akhir Kuiz Sejarah dan Patriotisme

Gambar Mohammad Ismandi Wasli

ALOR SETAR, 14 Julai 2025: Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2025 Peringkat Negeri Kedah telah melabuhkan tirainya pada 10 Julai lalu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah (SMKSB), Alor Setar.

Pertandingan yang dilaksanakan oleh Unit Sejarah dan Kenegaraan, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia itu menyaksikan peserta membuat persediaan rapi iaitu melalui pembacaan dan pemahaman subjek sejarah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang meliputi silibus Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

Pelajar juga didedahkan dengan soalan berdasarkan sejarah negeri Kedah terutama merujuk kepada buku Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah: Genralogical History of Kedah State kerana ia diiktiraf oleh The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sebagai inskripsi sejarah yang diitiraf.

Seramai 16 pelajar dari empat buah sekolah yang berjaya ke peringkat akhir membuktikan tahap kefahaman sejarah dan elemen patriotik yang tinggi dalam kalangan mereka. Pertandingan ini telah berlangsung dengan sengit yang melibatkan empat sekolah yang berbeza aliran iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SPBI) Kubang Pasu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubor Panjang, Maktab Mahmud Alor Setar dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chio Min.

Pertandingan akhir pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2025 Peringkat Negeri Kedah bermula dengan sesi saringan yang diadakan secara atas talian pada 2 Julai di mana seramai 340 pelajar daripada 85 buah sekolah menengah seluruh negeri Kedah telah menyertai pertandingan ini dan empat sekolah berjaya melangkah ke peringkat akhir hasil bimbingan guru yang hebat.

Tahniah kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) dan pengetua sekolah yang memberi galakan yang jitu. Syabas juga di ucapkan kepada penganjur iaitu Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM dan pihak urusetia SMKSB yang telah berjaya merealisasikan pertandingan ini.

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chio Min akhirnya telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Akhir Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2025 Peringkat Negeri Kedah. Kejuaraan tersebut turut melayakan SMJK Chio Min mewakili negeri Kedah ke Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2025 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 10 hingga 11 September nanti.

SMJK Chio Min berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, piala pusingan dan hadiah individu, manakala SMJK Chio Min turut merangkul anugerah Peserta Terbaik Peringkat Saringan dan Peringkat Akhir yang dimenangi oleh Fun Hong Ee.

Pasukan SMJK Chio Min dianggotai oleh Fun Hong Ee (Tingkatan 4 Pascal), Nicholas Chong Haoyi (4 Newton); dan dua pelajar perempuan iaitu Choong Een Ting (4 Newton) dan Chan Yin Kuan (4 Watson) bersama guru pengiring, Mohd Azmin Abdullah.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ishak Awang.

Ishak berkata, di samping meningkatkan pengetahuan sejarah dan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar, pertandingan ini juga merupakan platform bagi pelajar-pelajar mengenali sejarah negeri Kedah dengan lebih dekat lagi.

“Pertandingan ini turut memainkan peranan penting dalam membentuk dan memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar.

“Saya berharap semua sekolah menengah di negeri Kedah untuk terus mengambil bahagian dan menyokong pertandingan ini yang diadakan setiap tahun yang mampu melahirkan rakyat Malaysia yang celik akan sejarah negara dan cintakan tanah air,” katanya.

Turut hadir, Pengetua SMK Sultanah Bahiyah, Datin Nurul Aznim biti Mohd Razalli; Prof. Madya Dr. Nor Azlah Sham Rambley mewakili Dekan SLCP; Pengerusi PSMCK, Dr. Ibrahim Bakar; Timbalan Pengerusi PSMCK, Ts Syamsul Anuar Che Mey; Ketua Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Dr. Haslinda Hasan dan Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan dengan Kepujian, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Hanifah.

Peserta akhir memberikan reaksi yang sangat positif mengenai pertandingan ini dan seronok menyertainya di samping sijil dan hadiah yang diterima, selain berharap agar pertandingan sebegini terus diadakan bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan diri dan guru juga akan memastikan sekolah mereka menyertai pertandingan ini pada tahun hadapan. – Dr. Aszlan Selamat dan Dr. Haslinda Hasan

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button