13 pelajar UIN Sunan Ampel Surabaya jalani Program Mobiliti di UUM
Berita dan gambar Dr. Mohd Sollehudin Shuib
SINTOK, 20 Julai 2025: Seramai 13 pelajar dari Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Ampel Surabaya, Indonesia kini berada di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi menjalani program mobiliti pelajar bersama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni IBS, Dr. Mohd Sollehudin Shuib berkata, program ini sebagai platform strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala antara institusi pengajian tinggi serantau serta memperkaya pengalaman antarabangsa pelajar.
Menurutnya, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pertukaran pelajar antarabangsa yang berlangsung sepanjang bulan Julai 2025.
“Sepanjang berada di Malaysia, pelajar berpeluang mengikuti kelas-kelas terpilih yang ditawarkan oleh IBS UUM, selain terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti bersama kelab pelajar IBS,” katanya.
Antara pengisian menarik termasuk lawatan akademik dan kebudayaan ke sekitar negeri Kedah dan Pulau Pinang, serta program khidmat komuniti bersama penduduk di Changlun.
Melalui penyertaan ini, pelajar bukan sahaja berpeluang memperluas ilmu dalam bidang pengajian perniagaan Islam, malah dapat mendalami budaya dan kehidupan masyarakat setempat.