Campus

Lawatan penandaarasan UMPSA ke BPPK kongsi amalan terbaik tadbir urus pelan strategik universiti

Gambar BPPK

SINTOK, 21 Julai 2025: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK), Universiti Utara Malaysia, semalam.

Delegasi UMPSA diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pembangunan dan Teknologi Maklumat, Prof. Ts. Dr. Hamdan Daniyal, bersama enam pegawai telah disambut oleh Timbalan Pengarah BPPK, Prof. Madya Ts. Dr. Jastini Mohd Jamil.

Dr. Jastini berkata, lawatan penandaarasan ini merupakan platform bagi perkongsian amalan terbaik pengurusan pelan strategik kedua-dua universiti, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

Sesi perkongsian tadbir urus pelan strategik UUM telah diketuai oleh Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad yang memberikan pendedahan kepada pembangunan pelan strategik secara keseluruhan, termasuk proses pemantauan Pelan Strategik UUM yang menggunakan Strategic Planning Information System (SPIS), manakala amalan terbaik Pengurusan Pelan Strategik UMPSA dibentangkan oleh Pengurus PPSK, Saharudin Ramli.

Sementara itu, Dr. Hamdan berkata, lawatan ini merupakan langkah strategik penting ke arah memperkukuh hubungan dua hala antara UUM dan UMPSA, khususnya dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan universiti melalui strategi dan pendekatan tadbir urus yang lebih berkesan serta berdaya saing di peringkat nasional dan global.

Turut hadir dalam lawatan penandaarasan ini ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Strategik, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Ashraf Fauzi dan Pengarah Pusat Teknologi Digital, UMPSA, Ts. Mohd Rashid Abu Bakar. – Muhamed Nor Azman Nordin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button