Bengkel penulisan table 4 perkukuh pemahaman pensyarah SQS terhadap kerangka MQF2.0 dan perancangan pengajaran
Gambar oleh Dr. Teh Yuan Ying
SINTOK, 6 Ogos 2025: Jawatankuasa Teaching & Learning / Global Online Learning, Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Silibus dan Perancangan Pengajaran Melalui Penulisan Table 4 selama dua hari bertempat di SQS, UUM.
Bengkel ini diadakan pada 5 dan 6 Ogos 2025, bertujuan memperkukuh pemahaman pensyarah SQS terhadap prinsip Outcome-Based Education (OBE), penjajaran konstruktif (constructive alignment), dan kehendak Kerangka Kelayakan Malaysia edisi kedua (MQF2.0), khususnya dalam konteks pembangunan silibus dan penyediaan Table 4.
Menurut Pengerusi Program Matematik Perniagaan, SQS, Dr. Teh Yuan Ying yang turut bertindak sebagai moderator sepanjang bengkel, inisiatif ini penting dalam menjelaskan isu-isu berkaitan reka bentuk silibus kursus, perancangan pengajaran, serta dokumen Table 4 yang menjadi sebahagian penting dalam proses akreditasi akademik.
Bengkel menampilkan Dr. S. Maartandan Suppiah, pensyarah kanan dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM yang juga merupakan penilai bertauliah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sebagai penceramah jemputan.
Beliau menyampaikan ceramah komprehensif mengenai interpretasi praktikal Kerangka MQF2.0, prinsip asas OBE, serta penjajaran konstruktif antara hasil pembelajaran kursus (CLO), aktiviti pengajaran dan pembelajaran, serta kaedah pentaksiran.
Selain ceramah, sesi interaktif turut dijalankan yang memberi peluang kepada peserta untuk mengemukakan persoalan, berbincang isu sebenar yang dihadapi semasa membangunkan silibus, serta mendapatkan maklum balas terus daripada pakar MQA.
Seramai 35 orang peserta terdiri daripada pensyarah SQS telah mengambil bahagian dalam bengkel ini, termasuk Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) SQS, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman, yang turut serta sebagai peserta bengkel.
Bengkel ini juga diharap dapat menyokong proses semakan semula struktur kursus sedia ada di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah SQS, selaras dengan dasar dan polisi terkini MQA. Usaha seperti ini mencerminkan komitmen SQS untuk kekal proaktif dalam memahami perubahan ekosistem pendidikan tinggi, serta memperkemas dokumentasi dan amalan pengajaran bagi memenuhi piawaian akreditasi kebangsaan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah mencapai objektifnya sebagai platform pemantapan kefahaman dan perancangan strategik, selaras dengan aspirasi UUM dalam memperkukuh budaya akademik berasaskan kualiti. – Dr. Teh Yuan Ying.