Education

IBS perkukuh hala tuju strategik bersempena ulang tahun ke-15, sasar lonjakan ranking antarabangsa

Gambar Harith Hilmi

PULAU PINANG, 25 Mei 2026: Seramai 24 penjawat dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berhimpun di Hotel The Light bagi menjayakan Bengkel Pelan Strategik dan Pemantapan Hala Tuju Sempena 15 Tahun IBS, Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam dari 21 hingga 23 Mei lalu.

Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, bengkel intensif ini bertujuan merangka tindakan strategik yang agresif bagi meningkatkan prestasi serta kedudukan IBS di persada antarabangsa.

Menurutnya, sejajar dengan landskap pendidikan tinggi yang kian kompetitif, bengkel ini menampilkan tiga tokoh akademik tersohor yang membimbing dan memberi motivasi kepada peserta.

Pertama, Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Ahli Majlis Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia yang menekankan keperluan kritikal untuk menempatkan IBS UUM pada pentas global yang lebih kompetitif.

Beliau menjelaskan bahawa penjenamaan universiti pada peringkat antarabangsa menuntut peralihan pantas daripada sekadar reputasi tempatan kepada jenama berasaskan nilai yang diiktiraf dunia. Dalam usaha melonjakkan kedudukan dalam senarai seperti Top 30 Business Schools of the Islamic Economy dan Web of Science, beliau menekankan pentingnya melahirkan bakat akademik bertaraf dunia berasaskan prinsip ‘3R’ iaitu relevan dalam pengajaran, menjadi rujukan industri dan sarjana, serta dihormati atas impak penyelidikan global. Beliau turut menyeru agar perancangan masa hadapan mengambil kira mega-trend serta senario bagi menghadapi sebarang ketidakpastian.

Bagi membakar semangat peserta bersempena ulang tahun ke-15 IBS, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, Profesor UUM menerusi slot bertajuk Kepimpinan Inspirasional dan Identiti Intelektual Bersendikan Syariah, merungkai visi besar fakulti melalui topik “Dari Visi ke Kecemerlangan: Membina Fakulti Berasaskan Syariah Bertaraf Dunia”.

Beliau mengingatkan peserta tentang “Perangkap Zon Selesa”, di mana kekuatan IBS pada masa lalu boleh menyebabkan institusi hilang relevansinya jika tiada keberanian melakukan pembaharuan.

Tegasnya, IBS tidak ditubuhkan untuk sekadar menjadi replika pendidikan pengurusan Barat. Pendidik di IBS digalakkan berani mendefinisikan kepimpinan intelektual sendiri dan beralih paradigma daripada sekadar menjadi penyedia program kepada kumpulan penyelesai masalah yang aktif menangani isu sebenar Ummah.

Sementara itu, Prof. Datin Dr. Rusni Hassan, Profesor Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menekankan kepentingan kolaborasi antara akademia dan industri dalam slot Jaringan Industri Terbina Atas Kepercayaan dan Impak Komuniti.

Beliau mengingatkan bahawa ilmu adalah amanah suci yang wajib memberi keberhasilan kepada masyarakat, dan budaya keakademikan tradisional yang terlalu mengejar bilangan penerbitan perlu dianjak ke arah kelestarian pemerkasaan komuniti. Penyelidikan berimpak tinggi IBS disarankan bergerak melalui platform Kewangan Sosial Islam seperti Zakat dan Wakaf untuk mewujudkan transformasi nyata dari segi dasar, ekonomi digital, dan pembasmian kemiskinan.

Beliau menekankan bahawa universiti tidak mampu bergerak bersendirian, dan jalinan Quadruple Helix melibatkan akademik, industri, kerajaan, dan komuniti adalah kunci kelangsungan jangka panjang institusi pendidikan.

Bengkel padat berimpak tinggi ini diakhiri dengan sesi pembentangan resolusi daripada setiap kumpulan. Kesemua 24 penjawat IBS membulatkan tekad untuk menterjemahkan lima strategi tindakan boleh laksana dalam jangka pendek dan panjang bagi setiap teras kepada hasil nyata.

Dengan kesepaduan yang terbina, IBS UUM komited merintis sempadan baharu sebagai pusat rujukan bagi Kewangan Islam, Pengurusan Perniagaan Islam dan Halal, sekali gus memahat nama unggul dalam peta pendidikan antarabangsa. – Dr. Noraini Yusuff

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button