General

UUM dan BDB meterai kerjasama latihan kakitangan di Menara BDB

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman

ALOR SETAR, 12 Ogos 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama UUM LEADS telah menandatangani Surat Pelantikan dengan Bina Darulaman Berhad (BDB) bagi pelaksanaan projek pembangunan bakat kakitangan BDB yang akan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali di Menara BDB, semalam.

BDB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman, manakala UUM diwakili oleh Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh, dan Pengurus Besar UUM LEADS, Prof. Madya Dr. Sobri Don.

Dr. Mohamed Najib berkata, STML telah dilantik sebagai penyedia perkhidmatan utama bagi projek pembangunan bakat ini.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen UUM, khususnya STML dalam menyumbang kepakaran akademik kepada sektor industri melalui pendekatan pembelajaran berimpak tinggi.

“Program latihan ini akan dilaksanakan secara berfasa merangkumi modul-modul utama berkaitan kepimpinan, pengurusan strategik, inovasi dalam perniagaan serta kecekapan operasi – sejajar dengan keperluan transformasi organisasi BDB,” katanya.

Sementara itu, Raja Shahreen berkata, kerjasama strategik ini merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan BDB untuk membina barisan pemimpin masa depan yang bersedia menghadapi cabaran korporat yang dinamik.

Menurutnya, majlis menandatangani surat pelantikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif perancangan pembangunan bakat kepimpinan oleh BDB yang bertujuan memperkukuhkan kompetensi serta pembangunan bakat dalam kalangan warga kerja syarikat.

Turut hadir, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) STML, Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman;  Pengarah Institut Kecemerlangan Teknologi dan Rantaian Bekalan (TeSCE), Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim; Pensyarah Kanan STML, Dr. Rosman Iteng, serta Pengurus UUM LEADS, Andy Bachtiar Ibrahim.

Majlis ini turut membuka ruang kepada perbincangan lanjut antara UUM dan BDB ke arah membina hubungan kerjasama strategik jangka panjang yang berimpak dan memberi manfaat bersama.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button