Perjumpaan KESKA dan Bursar fokus isu elaun cermin mata, status On Call dan staf kontrak
Gambar Nor Aziah Mehat
SINTOK, 13 Ogos 2025: Ahli Majlis Jawatankuasa (AMJK) Kesatuan Kakitangan (KESKA) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Jabatan Bendahari UUM di pejabat Jabatan Bendahari, semalam.
KESKA diwakili oleh Presiden, Affendi Askandar dan Setiausaha, Nor Aziah Mehat serta Bendahari, Ahmad Faisal Ahmad Fuad dan juga Penolong Bendahari, Jamnatul Asma Ismail, manakala Jabatan Bendahari diwakili oleh Bursar UUM, Abdul Roni Baharom, serta Timbalan Bursar, Mokhtar Hasim.
Affendi berkata, perjumpaan ini memberi tumpuan kepada perbincangan lanjut mengenai kemudahan elaun cermin mata bagi staf, status on call termasuk kaedah pelaksanaannya, serta isu berkaitan staf pelaksana berstatus kontrak.
Bagi dua perkara pertama ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyediakan kertas kerja yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) akan datang bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan sewajarnya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap keterbukaan pihak Jabatan Bendahari dalam membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan staf pelaksana.
Menurutnya, hasil daripada perjumpaan ini diharap akan memberi impak positif, terutamanya dalam meningkatkan kemudahan dan insentif yang dinikmati ahli KESKA.
“Harapan saya, setiap perkara yang dibincangkan hari ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kebaikan semua ahli kesatuan, dan seterusnya mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif dan sejahtera di UUM,” katanya.
Perjumpaan ini melambangkan komitmen bersama antara KESKA dan pihak pengurusan UUM dalam memastikan kebajikan kakitangan sentiasa diberi perhatian sewajarnya. – Mohd Khairil Hazree Hairudin