Campus

Penasihat Industri mantapkan hala tuju Sarjana Sains (Data Analisis) UUM

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad

SINTOK, 24 Ogos 2025:  Pusat Pengajian Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan Penasihat Industri, Dr. Ir. Ts. Syed Ahmad Fuad Syed Abdul Hamid yang juga Pengarah Projek (Advanced Metering Infrastructure), Bahagian Rangkaian Pengedaran, Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi memperkukuh keberkesanan serta hala tuju Program Sarjana Sains (Data Analisis) agar kekal seiring dengan keperluan industri.

Lawatan dimulakan dengan ucapan pembukaan dan latar belakang SQS oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman, diikuti dengan taklimat berkaitan pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran kursus seperti ketetapan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang disampaikan oleh Pengerusi Program Pasca Siswazah, Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad, dan Penyelaras Program Sarjana Sains (Data Analisis), Prof. Dr. Suzilah Ismail.

Seterusnya, Dr. Syed Ahmad Fuad mengadakan sesi temu bual bersama pensyarah dan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mengenai kekuatan dan cabaran program.

Pada sebelah petang, beliau meneliti dokumen yang berkaitan dan laporan penilaian sebelum menyampaikan perkongsian ilmu bertajuk “Analytics Skills That Matter: From Industry Perspectives” yang dikendalikan oleh Dr. Ayu Abdul Rahman.

Perkongsian ini memberi penekanan kepada bidang pengetahuan, kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah serta cabaran dalam pelaksanaan Advanced Metering Infrastructure yang kini menjadi tumpuan industri tenaga.

Beliau turut berbincang mengenai strategi memperkukuh hubungan universiti dan industri bagi menjamin kelestarian program serta meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan.

Dr. Syed Ahmad Fuad berkata, kerjasama erat antara universiti dan industri bukan sahaja memastikan program kekal relevan, malah membantu melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal, keupayaan analisis dan daya saing yang tinggi untuk mendepani cabaran pasaran kerja masa kini.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button