Projek Transformasi Changloon (CTP) UUM perkukuh kelestarian bersama komuniti kampung
Gambar Siti Fartimah Saidan
CHANGLUN, 2 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat melalui Projek Transformasi Changloon (CTP) yang memberi tumpuan kepada empat kampung terpilih di sekitar Changlun.
Dalam sesi perbincangan bersama ketua kampung yang diadakan pada 19 Ogos lalu, dua kampung terlibat iaitu Felda Laka Selatan dan Kampung Rawa tampil memberikan pandangan serta berkongsi isu setempat.
Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perundingan), Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CETMA), Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof berkata, projek ini bermatlamat untuk menjadikan kejayaan di sebuah kampung sebagai model teladan, sekali gus menarik minat kampung lain untuk turut serta.
“UUM memberi sokongan penuh terhadap inisiatif kelestarian ini, dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Changloon bagi menyokong inisiatif CTP” katanya.
Antara perkara yang dipersetujui termasuklah pelaksanaan sesi temuramah komuniti secara berasingan di setiap kampung, penganjuran perjumpaan santai bersama penduduk, serta pelaksanaan projek kecil dalam masa terdekat. Kerjasama dengan agensi luar seperti E-Idaman dan OIB Group turut akan diperkukuh bagi menyokong aktiviti kelestarian.
Antara lain, isu banjir turut dibincangkan, khususnya melibatkan Kampung Rawa yang sering terkesan walaupun keadaan bertambah baik selepas pembesaran sungai.
Selain itu, aspirasi untuk memperkukuh budaya positif di bandar Changlun, termasuk pematuhan peraturan jalan raya, turut diberi perhatian.
Turut serta, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Laka Selatan, Adnan Halib @Ahmad; Setiausaha MKK Laka Selatan, Mohd Shafirul Mhd Razi; Pengerusi MKK Kampung Rawa, Nadzariah Wahab, dan Nurul Ain Najwa Mohamad Jamil. – Tengku Nurul Aimi Balqis Tengku Malim Busu