Campus

PSB lancar buku legasi 40 sempena ulang tahun ke-40

Gambar oleh Shamsaimi Ezil

SINTOK, 11 September 2025: Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melancarkan buku bertajuk Legasi 40 sempena meraikan ulang tahun ke-40 perpustakaan tersebut.

Buku Legasi 40 diterbitkan sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan empat dekad PSB yang sarat dengan pencapaian cemerlang, khususnya dalam aspek inovasi sistem perpustakaan, penganjuran seminar, kejohanan serta pengiktirafan terhadap sumbangan individu yang telah memberi impak besar kepada perkembangan perpustakaan.

Karya ini dihasilkan oleh Nor Shafizawati Shafie, Norazmilah Yaakub, Roshadimah Awang, Azlina Ahmad dan Ranizaton Shinar Ramli dengan ilham serta bimbingan Prof. Dr. Che Azlan Taib, Ketua Pustakawan UUM.

Menurut Prof. Dr. Che Azlan, penerbitan buku ini diharap bukan sahaja menjadi rekod sejarah bermakna, tetapi juga sumber inspirasi kepada warga perpustakaan dan generasi akan datang dalam meneruskan kecemerlangan PSB.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pula dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada PSB atas inisiatif penerbitan tersebut yang dianggap sebagai catatan penting perjalanan universiti.

“Buku Legasi 40 ini bukan sekadar naskhah dokumentasi, tetapi simbol dedikasi, usaha gigih dan semangat kebersamaan warga PSB yang sentiasa menyokong misi UUM sebagai universiti pengurusan terulung. Saya yakin buku ini akan menjadi sumber rujukan berharga serta pendorong untuk terus melakar kecemerlangan pada masa depan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button