General

Anak pekerja pembersihan pilih UUM untuk dekat dengan keluarga

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

BUKIT KAYU HITAM, 16 September 2025: Kisah pengorbanan dan semangat seorang anak muda dari Bukit Kayu Hitam, Nurfarah Najwa Zamri, bakal pelajar baharu Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), menyentuh hati ramai apabila dia memilih UUM bukan sekadar kerana nama dan reputasinya, tetapi juga demi keluarga tersayang.

Najwa, anak sulung dalam keluarga, dibesarkan dengan penuh kesederhanaan. Ayahnya kini terlantar akibat menghidap penyakit diabetes dan buah pinggang, manakala ibunya hanya bekerja sebagai pembersih di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan.

“UUM adalah pilihan terbaik kerana dekat dengan rumah. Sekurang-kurangnya saya dapat ulang-alik dan bantu emak menjaga abah,” katanya penuh tekad.

Najwa mempunyai cita-cita besar untuk menjadi pegawai yang berkhidmat dalam badan bukan kerajaan (NGO).

Pengalaman bekerja di sebuah tadika swasta yang menguruskan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sebelum menyambung pengajian membuka hatinya untuk lebih aktif dalam bidang kebajikan dan kerja sosial.

“Saya nak keluar dari zon selesa, nak sumbangkan tenaga, kemahiran dan pengalaman yang saya ada untuk masyarakat.

“Saya pernah buat laporan tentang warga emas yang menghidap diabetes, termasuk abah sendiri. Dari situ saya yakin bidang ini adalah jalan yang betul buat saya,” katanya lagi.

Hari ini, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut menyantuni Najwa dalam kunjungan khas ke kediamannya di Bukit Kayu Hitam, sebagai tanda sokongan universiti terhadap semangat juang dan tekad pelajar baharu UUM.

Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Cikgu Zainol @ Zainal Abidin Mohamad atau dikenali sebagai Cikgu Non dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr. Mohd Foad menyifatkan Najwa sebagai contoh pelajar berjiwa besar yang bakal menjadi aset penting kepada negara.

“UUM sentiasa terbuka untuk membimbing pelajar seperti Najwa dan dia bukan sahaja membanggakan keluarga, malah mampu menjadi inspirasi buat pelajar lain,” katanya.

Najwa akan melapor diri ke UUM pada 23 September ini sebagai pelajar baharu sesi akademik 2025/2026. – Kori Ariff

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button