Campus

UUM pacu agenda inklusiviti melalui Program Meja Bulat OKU ASEAN 2025

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 23 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Majlis Perwakilan Pelajar telah menganjurkan Program Perbincangan Meja Bulat Orang Kurang Upaya (OKU) ASEAN 2025 selama tiga hari bermula 20 September di Dewan Sri Angsana EDC-UUM.

Program ini menghimpunkan ahli akademik, penggubal dasar, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil komuniti OKU dari pelbagai negara ASEAN.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr. Ahmad Martadha berkata, program ini bukan sekadar forum dasar atau akademik, sebaliknya suatu komitmen serantau untuk mengiktiraf OKU sebagai rakan setara dalam pembangunan ASEAN, bukannya penerima bantuan pasif.

Beliau turut menekankan bahawa universiti mempunyai peranan penting dalam tiga aspek utama, iaitu pendidikan inklusif, penyelidikan dan inovasi, serta penglibatan dasar.

Menurutnya, universiti perlu melatih pendidik berkemahiran untuk menguruskan pelajar pelbagai keupayaan, membangunkan teknologi bantuan mesra OKU, serta memberi pandangan berasaskan bukti kepada kerajaan.

“Hasil perbincangan meja bulat ini tidak akan kekal sekadar teori, sebaliknya akan diterjemahkan kepada tindakan konkrit melalui kolaborasi bersama universiti ASEAN bagi memastikan pelajar dan alumni OKU berkembang maju serta memimpin,” katanya.

Sementara itu, Yahya dalam ucapannya juga menegaskan bahawa Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang berlandaskan prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) telah mengiktiraf hak komuniti OKU untuk hidup berdikari, mendapat akses pendidikan, penjagaan kesihatan, kemudahan awam serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurutnya, tanggungjawab memperkasa komuniti OKU tidak boleh diletakkan pada bahu kerajaan sahaja, sebaliknya perlu digalas bersama oleh institusi pengajian tinggi, masyarakat sivil dan komuniti setempat.

“Saya berharap agar program ini menjadi titik tolak ke arah ASEAN yang benar-benar inklusif, dengan institusi pengajian tinggi berfungsi sebagai tonggak maruah, peluang, dan pemerkasaan untuk semua,” katanya.

Dengan adanya program ini, UUM terus membuktikan komitmennya dalam menjunjung nilai keterangkuman dan keadilan sosial, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam membina ASEAN yang benar-benar inklusif, sejahtera dan berdaya saing.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Yahya Mat Khatib dan Pengarah Program Perbincangan Meja Bulat Orang Kurang Upaya (OKU) ASEAN 2025, Muhammad Zahid Ahmad Termizi. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button