Webinar ODL perkukuh kefahaman pusat pengajian dalam pembangunan Program ODL
Berita dan gambar Nur Diyana Mohd Roslan
SINTOK, 9 Oktober 2025: Webinar Pembangunan Program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) telah diadakan secara atas talian melalui platform Webex.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Swaakreditasi Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai salah satu inisiatif perkongsian ilmu dalam usaha memperkukuh pelaksanaan program ODL di peringkat universiti.
Timbalan Pengarah Pusat Swaakreditasi, Prof. Madya Ts. Dr. Irwan Mahazir Ismail berkata, penganjuran webinar ini bertujuan membantu pelaksanaan program ODL di UUM agar berjalan dengan lancar.
Selain itu, menurutnya, rakaman daripada sesi webinar ini boleh menjadi rujukan kepada pusat pengajian dalam penyediaan dokumentasi program ODL sepaya selari dan mematuhi standard yang digariskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Seramai 23 peserta telah menyertai webinar ini yang terdiri daripada wakil pelbagai pusat pengajian termasuk Pusat Pengajian Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SLCP) serta Akademi Golf Nasional (AGN).
Fasilitator webinar ODL, Dr. Irwan turut memberikan bimbingan dan penerangan mengenai struktur, keperluan, serta penyediaan kandungan dokumen ODL yang menepati piawaian MQA.
Sepanjang sesi berlangsung, perbincangan dua hala dan sesi maklum balas konstruktif turut dijalankan bagi memastikan kefahaman peserta terhadap keperluan dan prosedur penyediaan dokumen ODL yang teratur.
Webinar ini bukan sahaja menjadi platform pemantapan pengetahuan dan kefahaman mengenai pelaksanaan ODL, malah membuka ruang kolaborasi antara pusat pengajian dalam memperkukuh kualiti pembangunan program ODL di UUM.