Campus

Battle of STEM warnai Festival of Idea @ Kedah 2025

Gambar oleh: Nor Aishah Ahad & Morganapirya A/P Ponniraja

SINTOK, 9 Oktober 2025 : Teater Eksperimen Universiti Utara Malaysia (UUM) gamat dengan sorakan dan semangat pelajar sekolah rendah apabila Battle of STEM anjuran Saintis dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) berlangsung sempena Festival of Idea @ Kedah 2025.

Program ini menghimpunkan tiga buah sekolah iaitu SK Bandar Baru Sintok, SK Hosba dan SK Dulang, Yan,  dengan penyertaan 32 pelajar tahap dua dari setiap sekolah yang bersaing dalam empat permainan STEM interaktif berasaskan matematik dan sains.

Objektif utama Battle of STEM adalah untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM melalui aktiviti berasaskan permainan (game-based learning) yang menyeronokkan dan mencabar minda.

Sebanyak empat permainan STEM direka khas bagi menguji pengetahuan, kemahiran berfikir aras tinggi, serta kebolehan menyelesaikan masalah secara kreatif. Aktiviti yang dipertandingkan ialah Match Math, SifirFit Puzzle, Jelajah Angkasa dan Arkitek Muda.

Pertandingan diadakan dalam dua sesi utama dan dikendalikan oleh tujuh orang pensyarah SQS diketuai oleh PM. Dr. Nor Aishah Ahad serta Saintis Puan Yuhaniz Ahmad, Dr. Ayu Abdul Rahman, PM. Dr. Hashibah Hamid, PM. Dr. Sharmila Karim, Cik Zakiah Hashim dan Puan Norhafiza Mohd. Noor  bersama 19 fasilitator terdiri daripada pelajar prasiswazah SQS yang membantu melancarkan aktiviti.

Setiap kumpulan perlu melengkapkan misi dalam masa yang ditetapkan, dan lima pemenang daripada setiap sesi dipilih berdasarkan markah tertinggi dan masa terpantas. Program ini bukan sahaja mencungkil bakat pelajar dalam bidang STEM, malah turut menggalakkan semangat kerjasama, komunikasi, dan daya saing positif dalam kalangan peserta muda.

Menurut wakil penganjur, Battle of STEM diharap menjadi pemangkin kepada pelajar sekolah rendah untuk melihat sains dan matematik bukan sekadar subjek akademik, tetapi sebagai satu bentuk penerokaan yang menyeronokkan dan relevan dengan dunia sebenar. – Yuhaniz Ahmad & Nor Aishah Ahad

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button