Empat penyelidik UUM diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi kolaborasi penyelidikan bersama NZF Australia
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
SINTOK, 21 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa apabila empat penyelidiknya menerima pengiktirafan hasil penyelidikan bersama National Zakat Foundation (NZF) Australia, sekali gus mengukuhkan reputasi universiti sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dalam bidang ekonomi Islam dan pengurusan zakat global.
Majlis Penutupan dan Penyerahan Laporan Akhir Projek Penyelidikan Antarabangsa tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat FWD, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM, dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi (COO) NZF Australia, Munir Abdella.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelidik UUM atas komitmen tinggi sepanjang tempoh pelaksanaan projek, yang disiapkan dalam masa yang dijanjikan iaitu 12 bulan (setahun).
Beliau menyifatkan dapatan penyelidikan ini sebagai sangat insightful, mendalam, dan bernilai tinggi, serta amat berguna kepada NZF dalam memperkukuh operasi zakat di peringkat antarabangsa.
Projek bertajuk “Enhancing the Establishment of the National Zakat Foundation in New Zealand” ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Farihal Osman dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), dengan ahli pasukan penyelidik terdiri daripada Dr. Amirul Faiz Osman (IBS), Dr. Rusniza Abdul Rahman (TISSA-UUM) dan Dr. Saidatul Nurul Hidayah Jannatun Naim Nor Ahmad (TISSA-UUM).

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Dr. Idayu Mahat, yang turut merasmikan majlis tersebut berkata, pengiktirafan ini membuktikan keupayaan UUM untuk memenuhi keperluan dunia dalam penyelidikan zakat.
Menurutnya, kajian ini berpotensi dijadikan business model bagi institusi zakat di negara minoriti Muslim.
Katanya, kolaborasi ini membawa UUM ke persada antarabangsa dan memperkukuh jenama universiti sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka yang diiktiraf di peringkat global.

Pembentangan dapatan penyelidikan oleh Dr. Saidatul Nurul Hidayah turut membuka ruang perbincangan yang dinamik mengenai strategi pengukuhan institusi zakat di negara minoriti Muslim di mana sesi tersebut menampilkan pelbagai pandangan menarik tentang peranan kepercayaan komuniti, sistem pengurusan zakat berasaskan keperluan setempat, dan cabaran dalam membina model pengurusan zakat yang mapan.
Dalam perkongsian tersebut, Dr. Amirul Faiz menekankan bahawa pengalaman kutipan data di New Zealand membuka peluang besar untuk memahami amalan pengurusan zakat dalam kalangan masyarakat Muslim di negara tersebut, manakala Dr. Rusniza pula berkongsi pengalaman bertemu komuniti Kiwi-Muslim yang menunjukkan keperluan mendesak terhadap sistem pengurusan zakat yang lebih sistematik dalam komuniti mereka, sekali gus membuka ruang penyelidikan baharu pada masa hadapan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) IBS, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab, dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) IBS, Dr. Mohd Sollehudin Shuib.
Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan ucapan penutup oleh Munir Abdella, yang menegaskan bahawa penyelidikan sebelum pelaksanaan adalah pendekatan terbaik bagi memastikan keputusan yang tepat dalam pengurusan zakat.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan antarabangsa kepada keempat-empat penyelidik UUM sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam menjayakan penyelidikan ini. – Dr. Amirul Faiz Osman