“Amanah dan integriti teras kepimpinan JPRK sesi 2025/2026”
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 26 Oktober 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, menyeru barisan Majlis Tertinggi Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) Sesi 2025/2026 agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi, integriti serta berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan ketelusan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Watikah Pelantikan Majlis Tertinggi Jawatankuasa Khas Pemilihan Majlis Tertinggi (JPRK) UUM Sesi 2025/2026 yang berlangsung di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Salehuddin, pagi tadi.
Dalam majlis yang sama, JPRK turut mengumumkan keputusan rasmi bagi Pemilihan Majlis Tertinggi JPRK UUM Sesi 2025/2026, yang telah dijalankan secara dalam talian pada 21 Oktober 2025 (Selasa).

Menurut kenyataan rasmi jawatankuasa berkenaan, seramai 81 perwakilan pelajar berdaftar telah menyertai proses pengundian dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 91.36 peratus atau bersamaan 74 pengundi, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi pelajar terhadap amalan demokrasi di kampus.
Hasil keputusan yang disahkan oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan (JPRK) menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025/2026 adalah:
- Haslinda binti Kamarudin sebagai Pengerusi Majlis Tertinggi;
- Luqman Arief bin Azhar sebagai Timbalan Pengerusi;
- Nurain Syafiqah binti Muhamad Riadz sebagai Setiausaha; dan
- Saudari Nurfazreena Abady binti Zulkifli sebagai Bendahari.
Dalam ucapannya, Dr. Mohd Foad berkata pelantikan sebagai Majlis Tertinggi JPRK bukan sekadar pengiktirafan, tetapi merupakan satu amanah besar yang mencerminkan kepercayaan universiti terhadap kredibiliti dan keupayaan barisan kepimpinan baharu dalam meneruskan legasi pengurusan pilihan raya kampus yang telus, profesional dan berintegriti.

“Pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab terhadap kredibiliti, keupayaan dan kepercayaan universiti kepada barisan kepimpinan baharu untuk meneruskan legasi pengurusan pilihan raya kampus yang telus, profesional dan berintegriti,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa watikah yang diterima bukan sekadar selembar surat pelantikan, tetapi lambang kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh universiti serta warga mahasiswa.

Tambah beliau, amanah yang dipikul ini menuntut keikhlasan, kebijaksanaan dan keteguhan prinsip, di samping menegaskan bahawa kepimpinan JPRK perlu menjadi contoh kepada mahasiswa lain dalam aspek tanggungjawab, disiplin dan kepimpinan beretika.
“Kekalkan imej JPRK sebagai badan neutral dan berprinsip yang menjadi contoh kepada rakan-rakan mahasiswa lain. Pastikan setiap keputusan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berpaksikan fakta, bukan emosi,” jelas beliau.
Majlis turut dihadiri oleh Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, Dekan Hal Ehwal Pelajar; serta Muhammad Iskandar Zulkarnain bin Muhammad Suhaimi, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar.



